32 sukan dipertandingkan di Sukma Sarawak 2024

32 sukan dipertandingkan di Sukma Sarawak 2024

PENGERUSI Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma), Hannah Yeoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sarawak kembali menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2024 selepas kali terakhir menganjurkan temasya berkenaan pada 2016.

Keputusan itu diputuskan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang dilangsungkan hari ini, secara rasmi bersetuju memilih Sarawak sebagai tuan rumah dan temasya tersebut dijadualkan berlangsung pada 2024.

Pengerusinya yang juga Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pemilihan Sarawak selaku tuan rumah 2024 adalah berpandukan kepada persetujuan ahli-ahli untuk memperkenalkan sistem penggiliran tuan rumah secara berselang seli setiap dua tahun di antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan negeri-negeri.

“Selepas giliran Sarawak selaku tuan rumah edisi Sukma 2024, temasya Sukma pada tahun 2026 akan dianjurkan oleh MSN. Kelantan pula telah bersetuju untuk menerima tanggungjawab selaku tuan rumah pada 2028 untuk memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang.

“Rasional sistem penggiliran tuan rumah itu bertujuan untuk mengurangkan beban Kerajaan Persekutuan bagi memberikan bantuan kewangan kepada negeri-negeri yang meliputi peruntukan pembinaan dan naik taraf infrastruktur sukan, kos penganjuran dan juga pembiayaan program persediaan atlet-atlet di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Jawatankuasa Tertinggi Sukma juga meluluskan cadangan supaya 28 jenis sukan wajib dipertandingkan bermula daripada temasya Sukma tahun 2024.

Senarai 28 jenis sukan wajib yang akan dipertandingkan pada Sukma 2024 ialah akuatik (renang dan terjun); angkat berat; badminton;berbasikal (trek dan lebuhraya);
gimnastik (artistik dan gimrama); golf; lawan pedang; memanah; menembak; olahraga; pelayaran; hoki, judo;ping pong; taekwondo; karate; boling padang; pencak silat; sepak takraw; skuasy; tenpin bowling; wushu; bola sepak; ragbi; bola jaring; bola keranjang; bola tampar dan tenis.

Sarawak selaku tuan rumah Sukma 2024 juga diberikan pilihan memasukkan beberapa sukan tambahan dan telah memutuskan untuk menyenaraikan empat jenis sukan iaitu tinju, muay thai, petanque dan sukan elektronik (E-Sports) bagi temasya Sukma 2024, tertakluk kepada jumlah minimum penyertaan enam negeri seperti terkandung dalam Peraturan Am Sukan Malaysia.

Jawatankuasa juga telah bersetuju untuk MSN mengadakan beberapa sesi libat urus bersama persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan pemegang taruh yang berkaitan bagi mengkaji kemungkinan membuka penyertaan kepada lebih banyak jenis sukan untuk dipertandingkan pada edisi temasya Sukma pada masa hadapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya