Persatuan sukan diminta lebih telus pilih atlet sertai temasya, kejohanan - Utusan Malaysia

Persatuan sukan diminta lebih telus pilih atlet sertai temasya, kejohanan

MOHD. HAIRI Mad Shah menyampaikan insentif kepada pasukan olahraga pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Kontinjen Johor di Temasya Sukma dan Para Sukma Selangor di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Persatuan sukan di negeri ini diminta memastikan atlet-atlet yang mewakili negeri pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) akan datang dipilih berdasarkan merit dan bukan melalui ‘kabel’.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, pihaknya enggan perkara sedemikian berulang bagi kejayaan menjuarai Sukma pada tahun 2022 dapat diulangi.

“Semua pengerusi dan presiden persatuan sukan di Johor ini perlu didekati oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ). Kita tidak mahu lagi ada isu pilih kasih kerana saya harapkan pemilihan atlet akan dibuat dengan lebih telus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tidak mahu atlet dipilih kerana mereka ada kabel, rapat dengan presiden. Ini penting kerana banyak atlet kita terlepas ke negeri lain mungkin kerana kelemahan pengurusan persatuan sukan.

“Jadi, masalah-masalah dalaman dan luaran ini perlu diatasi bagi memastikan Johor kembali mengulang kejayaan di Sukma Kuala Lumpur lalu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Kontinjen Johor di Temasya Sukma dan Para Sukma Selangor, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Hairi turut memuji atlet-atlet dan persatuan yang berjaya mencapai sasaran sekaligus membawa pulang pingat emas, khususnya pasukan bola sepak.

“Pada Sukma ini, beberapa sukan antaranya olahraga, renang, dan banyak lagi telah tunjuk prestasi membanggakan. Tahniah dan syabas, khususnya kepada pasukan bola sepak kerana selepas 40 tahun, Johor akhirnya menang ibu pingat emas.

“Bagaimanapun, saya percaya sasaran selepas ini adalah untuk mengekalkan kemenangan itu secara konsisten, saya tahu bukan mudah tetapi kita perlu berusaha,” katanya.

Pada program tersebut, kerajaan negeri menyampaikan insentif kemenangan berjumlah lebih RM1.2 juta kepada atlet-atlet yang memenangkan pingat emas, perak dan juga gangsa.

Kontinjen Johor menduduki tempat keenam selepas mengutip 36 emas, 52 perak dan 46 gangsa, manakala kontinjen Para Sukma pula mengumpul 26 emas, 32 perak dan 31 gangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×