SEREMBAN: Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, dikenang sebagai seorang yang peramah, tidak berkira serta sentiasa bersedia membantu orang lain.
Rakan sekolahnya, Dr. Muhammad Fauzan Baharum, 31, berkata, Allahyarham yang dikenalinya sejak Tingkatan Empat ketika menuntut di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar (STJ), Kuala Pilah, tidak pernah meninggikan suara atau menimbulkan masalah sepanjang persahabatan mereka.
Menurutnya, Kapten Zainol Afiq seorang yang lembut tutur kata dan mudah didekati selain akan cuba membantu sedaya upaya sekiranya diminta pertolongan.
“Dia memang seorang yang peramah dan senang menolong orang. Kalau orang minta tolong, dia akan cuba sehabis mungkin.
“Dia juga soft-spoken, tidak pernah jerit-jerit atau bercakap kasar. Gaduh atau tinggi suara pun saya tak pernah dengar,” katanya ditemui di Masjid Bandar Baru Senawang di sini, semalam.
Dr. Muhammad Fauzan berkata, dia terkejut dan tidak menyangka rakan baiknya itu terlibat dalam nahas berkenaan.
“Ketika pertama kali mendengar berita mengenai nahas helikopter di Miri, saya sudah berasa tidak sedap hati dan berdoa agar mangsa bukan rakan saya.
“Namun, keesokan harinya saya mendapat pengesahan menerusi kumpulan WhatsApp sekolah bahawa mangsa adalah rakan saya. Memang agak sukar untuk saya terima,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Muhammad Fauzan berkata, Allahyarham juga seorang yang tidak berkira termasuk sering membenarkannya menumpang di rumah ketika mempunyai urusan atau menghadiri sesuatu acara.
Katanya, kali terakhir dia bertemu Allahyarham ketika menyertai perlawanan futsal bersama rakan seangkatan sekolah pada tahun lalu.
“Selalunya saya akan minta tumpang rumah dia. Kalau ada program atau apa-apa, saya tidur di rumah dia di Semenyih. Senang, kita minta sahaja dan dia bagi,” katanya.
Sementara itu, bapa saudara kepada isteri Allahyarham, Hashim Mohd Harun, 58, berkata, Kapten Zainol Afiq merupakan seorang yang baik, bertanggungjawab dan mempunyai komitmen tinggi dalam melaksanakan setiap tugas.
Menurutnya, Allahyarham juga sangat menyayangi keluarga dan tidak pernah membezakan antara keluarga sebelahnya dengan keluarga sebelah isteri.
“Dia seorang anak saudara yang sangat baik dan bertanggungjawab. Apa juga kerja yang dilakukan, komitmen dia sangat tinggi.
“Dia juga seorang yang sayangkan keluarga dan tidak membezakan sama ada keluarga sebelah isteri atau sebelah dia sendiri,” katanya.
Hashim berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat keluarga kerana Allahyarham dianggap sebagai ikon dan idola kepada ahli keluarga lain.
Katanya, kejayaan yang dicapai Allahyarham pada usia muda mencerminkan keperibadian dan tahap tanggungjawab tinggi yang dimilikinya.
“Kami memang kehilangan yang besar kerana dia satu ikon kepada keluarga. Walaupun usia masih muda, dia sudah membina satu karakter yang sangat tinggi dan menjadi idola kepada keluarga yang lain,” katanya.
Hashim berkata, Allahyarham tidak pernah melupakan keluarga dan akan pulang bertemu mereka setiap kali musim perayaan.
Katanya, kali terakhir Allahyarham pulang ke kampung adalah pada Ogos lalu.
“Setiap hari raya dia memang balik. Setiap perayaan, Raya Puasa dan Raya Haji, dia akan balik,” katanya. – UTUSAN










