Saya belum terima surat rayuan ahli digantung - Ahmad Zahid

Saya belum terima surat rayuan ahli digantung – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO belum menerima sebarang surat rayuan daripada ahli-ahlinya yang digantung keahlian baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, segala permohonan rayuan daripada ahli berkenaan akan diputuskan oleh Lembaga Disiplin UMNO.

“Saya belum menerima sebarang surat rayuan daripada mereka lagi buat masa ini.

“Saya akan menerima rayuan itu, namun menyerahkan kepada Lembaga Disiplin untuk putuskan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.

Pada 27 Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi UMNO menggantung keahlian beberapa pemimpin lain selama enam tahun seperti Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.

Turut digantung keahlian termasuk Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Malah, MKT UMNO turut memecat Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin kerana pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, UMNO Johor baru-baru ini turut menggesa Hishamuddin dan Maulizan mengemukakan rayuan dan membela diri terhadap pertuduhan serta sabitan yang dikenakan terhadap mereka.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, pihaknya bersetuju supaya kedua-dua (Hishamuddin dan Maulizan) pemimpin ini wajar diberikan peluang membela diri dan merayu atas tindakan yang dikenakan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya