Lelaki berang tumbuk mesin ATM didenda RM1,200 - Utusan Malaysia

Lelaki berang tumbuk mesin ATM didenda RM1,200

P.MANOHARAN didenda RM1,200 atas pertuduhan melakukan khianat dengan menumbuk skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di pekan Lukut, Port Dickson, bulan lalu.UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang pemandu lori didenda RM1,200 di Mahkamah Majistret Port Dickson hari selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan menumbuk skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di pekan Lukut, Port Dickson, bulan lalu.

Tertuduh P.Manoharan, 50, yang hadir sendirian membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, V. Vanita.

Mengikut pertuduhan, Manoharan didakwa telah melakukan khianat iaitu merosakkan skrin mesin ATM dengan menumbuk mesin tersebut.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di pekan Lukut, Port Dickson pada pukul 11.10 pagi, 9 Januari lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu dalam prosiding kes, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon denda yang paling minimum atas alasan dia merupakan penanggung tunggal keluarga.

“Hanya saya seorang bekerja, kesalahan telah dibuat dan saya menyesal. Saya mempunyai seorang isteri yang merupakan suri rumah serta dua daripada empat anak adalah orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh.

Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan polis selepas bertindak menumbuk mesin ATM di sebuah bank di pekan Lukut, Port Dickson pada 9 Januari lalu.

Tangkapan suspek dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita berusia 54 tahun yang merupakan pembantu pengurus di bank berkenaan.

Wanita itu memberitahu telah didatangi suspek pada pukul 11.10 pagi untuk mengeluarkan wang sebelum suspek tiba-tiba menumbuk mesin ATM, walaupun telah dihalang oleh pengawal keselamatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya