Tambak laut; Pulau Pinang bersikap profesional, bincang dengan nelayan - Utusan Malaysia

Tambak laut; Pulau Pinang bersikap profesional, bincang dengan nelayan

KERAJAAN negeri Pulau Pinang sentiasa menjemput persatuan nelayan dalam perbincangan mengenai rancangan tambak laut di perairan selatan negeri itu (PSI). - PIX HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa bersikap profesional dengan menjemput Persatuan Nelayan Negeri Pualu Pinang (PenMutiara) dalam sebarang perbincangan mengenai kebajikan atau bantuan nelayan yang berkaitan dengan pembangunan projek Penang South Island (PSI).

Penang Infrastructure Corporation (PIC) dalam kenyataan berkata, sejak 9 September 2020 sehingga akhir tahun 2020, kerajaan negeri telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan agensi terlibat termasuk PenMutiaran mengenai cadangan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).

Namun, ujarnya, dalam perjumpaan dengan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Pengerusi Task Force Nelayan pada 28 Disember 2020, PenMutiara melalui peguamnya telah menyatakan mereka tidak akan memberikan sebarang maklum balas terhadap cadangan SIMP kerajaan negeri.

”PenMutiara menyatakan mereka tidak akan memberi maklum balas sehingga rayuan yang dikemukakan nelayan terhadap kelulusan EIA oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar diputuskan oleh Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi PenMutiara, Ibrahim Che Rose berkata, persatuan itu tetap dengan pendirian menolak segala tawaran bayaran ex-gratia dan bantuan bot serta enjin kepada nelayan tahap satu dan dua daripada kerajaan negeri Pulau Pinang dan SRS Consortium Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan Penang South Island (PSI).

Menurut kenyataan PIC, memandangkan PenMutiara tidak bersedia untuk berunding, kerajaan negeri terpaksa mengambil pendekatan dengan mendapatkan maklum balas terus daripada komuniti nelayan.

”Pada 5 Februari 2021, skim SIMP dirangka khas untuk membantu nelayan yang terkesan dengan projek PSI dengan menaikkan taraf tahap sosio ekonomi mereka sejajar dengan pembangunan PSI telah diumumkan.

”Skim SIMP tidak hanya terhad kepada bayaran ex-gratia semata-mata tetapi merangkumi bantuan bot dan enjin, pakej pemerkasaan dan skim perumahan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri telah menawarkan ex-gratia sebanyak RM20,000 kepada tekong dan RM12,960 kepada awak-awak tahap satu dan RM13,200 kepada tekong dan RM5,400 kepada awak-awak di tahap dua.

”Tawaran pembayaran ex-gratia dalam projek PSI adalah yang tertinggi di negara ini jika dibandingkan dengan projek tambakan yang lain.

“Sebanyak 345 nelayan yang berkelayakan telah mendaftarkan diri untuk skim SIMP sehingga hari ini dan 328 nelayan telah menerima bayaran awal RM500.

“Baki dari bantuan kewangan ex-gratia seperti yang dijanjikan akan diberikan oleh kerajaan negeri selepas kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan pelan pengurusan alam sekitar (EMP) diperolehi,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, kesemua inisiatif-inisiatif yang telah dijalankan adalah bagi memastikan sumber perikanan terus terjamin dan akan diteruskan oleh kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.