Dungun jadi hub basikal trek negara

Dungun jadi hub basikal trek negara

Velodrome baharu di Pantai Timur, Velodrome Dungun yang terletak di Kampung Balai Besar.-IHSAN Urus Setia Penerangan Darul Iman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Velodrome baharu di Pantai Timur, Velodrome Dungun yang terletak di Kampung Balai Besar berpotensi untuk menjadi hub berbasikal trek negara yang baharu dengan syarat beberapa aspek keselamatan perlu ditingkatkan.

Saranan itu dibuat selepas sesi pengujian trek Velodrome Dungun dibuat 18 Januari lalu dengan menjemput beberapa atlet kebangsaan serta atlet pembangunan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh menjelaskan velodrome yang bernilai RM 11.8 juta itu memang dibina untuk tujuan pusat latihan dan pembangunan sukan berbasikal di negeri tersebut, justeru memang tiada perancangan untuk memohon sijil pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Bagaimanapun pihaknya tidak menolak untuk menganjurkan kejohanan kebangsaan di velodrome tersebut pada masa akan datang, selepas pengubahsuaian dilakukan oleh pihak kontraktor seperti yang diminta Jabatan Kerja Raya (JKR)

“Kami amat gembira velodrome ini berjaya dibina, tetapi tinggal lagi mereka harus melakukan beberapa pengubahsuaian yang kecil, hasil pandangan daripada atlet kebangsaan dan jurulatih yang telah menguji trek di velodrome itu.

“Pihak JKR akan memberikan laporan kepada kerajaan bagi tujuan penelitian, dan proses pengubahsuaian itu mungkin akan mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan.

“Tidak salah untuk menganjurkan kejohanan di situ, cuma sekiranya dianjurkan, adakah catatan masa perlumbaan misalnya ada rekod baru dilakar, catatan tersebut boleh disahkan atau sebaliknya, kerana ada banyak perkara yang harus diambil kira.

“Mungkin kita akan bermula dengan kejohanan di peringkat bawahan terlebih dahulu seperti Siri Program Berbasikal Remaja Malaysia (JCM), dan bagus juga jika ada kejohanan di bahagian Pantai Timur, di Dungun, mungkin semua faktor ini akan diambil kira selepas kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan,” jelas Amarjit.

Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 28 Mei depan di Velodrome Nasional Malaysia, Nilai.

Ini merupakan velodrome kelima yang terdapat di Malaysia selepas Velodrome Nasional Malaysia dan Velodrome Johor, sementara Velodrome Rakyat di Ipoh dalam keadaan uzur biarpun sudah mengalami pengubahsuaian pada 2016, manakala Velodrome Kuala Lumpur di Cheras pernah dibuka seketika untuk latihan skuad basikal Wilayah Persekutuan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 setelah ditutup dan terbiar kerana penukaran pemilikan tanah.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya