PETALING JAYA: Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA) menegaskan kerajaan negeri itu tidak mahu membina velodrom secara semberono sebaliknya menyasarkan pembinaan fasiliti bertaraf antarabangsa yang mampu menjadi hab sukan serta pelancongan sukan baharu di negara ini.
Presiden SCA, Irawan Sudarsono berkata, kerajaan negeri mempunyai aspirasi jelas untuk membangunkan velodrom berkualiti tinggi dan bukan sekadar memenuhi keperluan asas sukan semata-mata.
“Berdasarkan apa yang saya faham, mereka mahu membina velodrom bertaraf tinggi atau bertaraf antarabangsa. Kalau hendak membina, mereka tidak mahu buat secara ala kadar sahaja. Itu memang dapat kita lihat sebagai pendekatan kerajaan negeri.
“Kita bersyukur mereka mahu melaksanakan perkara seperti itu. Ini kerana ia akan meningkatkan pelancongan sukan, menarik penganjuran kejohanan antarabangsa ke Sarawak, serta menambah senarai velodrom bertaraf antarabangsa di Malaysia. Perkara ini sudah tentu memberi manfaat bukan sahaja kepada Sarawak, tetapi juga kepada seluruh Malaysia,” kata Irawan.
Dalam perkembangan sama, projek pembinaan velodrom itu bagaimanapun masih belum dapat dimulakan apabila isu status tanah di lokasi cadangan sekitar Stadium Sarawak, Kuching masih dalam proses rundingan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Irawan memaklumkan, ketika ini kerajaan negeri sedang memperincikan urusan pengambilalihan atau penyerahan tanah berkenaan sebelum sebarang langkah pembinaan dapat diteruskan.
“Setakat ini saya dimaklumkan oleh kerajaan negeri bahawa mereka masih menyelesaikan isu tanah di lokasi yang dicadangkan. Tapak itu dirancang di sekitar kawasan Sarawak Stadium kerana kerajaan negeri memang mahu menjadikannya sebagai sebuah hab sukan.
“Ketika ini mereka sedang memperkemas isu tanah persekutuan kerana tanah tersebut asalnya milik Kerajaan Persekutuan. Jadi kerajaan negeri sedang berunding mengenai proses penyerahan atau pengambilalihan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Bagaimanapun, SCA menegaskan tiada garis masa jelas dapat diberikan buat masa ini kerana rundingan antara kedua-dua pihak masih berjalan.
Mengulas kemungkinan Sarawak membina velodrom lebih baik daripada Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Irawan tidak menolak perkara itu sebagai sesuatu yang realistik dengan sokongan peruntukan kerajaan negeri.
“Semuanya ada kemungkinan. Saya rasa kalau kerajaan negeri ada bajet, perkara itu boleh berlaku,” katanya.-UTUSAN







