Ibu, bayi 18 bulan maut kereta masuk gaung

Ibu, bayi 18 bulan maut kereta masuk gaung

SEORANG waris mangsa kemalangan mendukung jenazah bayi berusia 18 bulan, Nur Aira Humaira Mohammad Sharool Nizam di Unit Forensik Hospital Dungun, Terengganu. -UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang wanita dan bayi perempuannya berusia 18 bulan maut manakala empat lagi ahli keluarga mereka cedera dalam kemalangan di jalan Kilang Sawit Felda Gugusan Rasau Kerteh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Nur Suhailla Azman, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran cedera di kepala manakala anak bongsunya, Nur Aira Humaira Mohamad Sharool, meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

Suami mangsa, Mohammad Sharool Nizam Hamzah, 32, dan anak sulung mereka, Nur Aisya Humaira yang berusia tiga tahun cedera ringan.

Dua lagi mangsa yang merupakan ibu dan abang kepada Mohamad Sharool iaitu Timah Mohamad, 73, dan Ruzaimi Abd Rashid, 48, cedera parah dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, semua mangsa yang menaiki sebuah kereta sedang dalam perjalanan dari bandar Dungun untuk pulang ke rumah Timah di Felda Kerteh 4, selepas membeli barangan dapur.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohamad Sharool hilang kawalan sebelum terbabas dan terhumban ke dalam gaung dan mengakibatkan beberapa mangsa tercampak keluar daripada kenderaan,” katanya.

Sementara itu kakak ipar Nur Suhaila berkata, adik iparnya kurang bercakap sehari sebelum kejadian tersebut.

“Biasanya Nur Suhailla tegur saya kalau jumpa, namun petang Jumaat lalu dia kurang bercakap dan tidak tegur saya. Saya fikir mungkin dia tidak berapa sihat. Tidak sangka itu pertemuan terakhir kami Siti Norhazilna Hamzah, 33, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun, semalam.

Katanya, sebelum kejadian, Nur Suhailla bersama suaminya, Mohammad Sharool Nizam dan dua anak mereka yang tinggal di Taman Uda, Paka, pulang ke rumah ibu mentuanya, Timah Mohamad, 73, di Felda Kerteh 4.

“Semalam mereka beritahu ibu mahu ke bandar Dungun untuk membeli barang dapur. Ibu dan abang saya, Ruzaimi juga mahu ikut sama dan kemalangan itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah ibu selepas selesai beli barang dapur,” ujarnya.

Menurutnya, Mohammad Sharool dan anaknya kini dirawat di Hospital Dungun manakala ibu dan abangnya yang masih tidak sedar telah dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

“Jenazah Nur Suhailla dan Nur Aira Humaira selamat dikebumikan kira-kira pukul 3 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Dungun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN