Seri tanpa jaringan, Belgium gagal mara - Utusan Malaysia

Seri tanpa jaringan, Belgium gagal mara

Belgium gagal meneruskan kemaraan ke pentas 16 terbaik selepas sekadar seri tanpa jaringan berdepan Croatia, sebentar tadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA :  Croatia mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia selepas seri 0-0 menentang Belgium sekali gus memastikan Belgium yang dibarisi ‘generasi emas’ itu pulang awal.

Keputusan seri tanpa jaringan itu yang berlangsung di Ahmed Bin Ali Stadium sudah cukup buat finalis edisi lalu, Croatia yang dibimbing Zlatko Dalic layak sebagai naib juara Kumpulan F di belakang Maghribi, yang menewaskan Kanada 2-1.

Turun dengan misi memburu kemenangan, Belgium yang dibarisi Kevin de Bruyne dilihat berjaya mencipta beberapa serangan awal ke kubu lawan.

Ketumpulan jentera serangan Belgium yang meraih kedudukan ketiga pada edisi 2018 melegakan Croatia yang hanya menharapkan keputusan seri untuk layak ke pusingan kalah mati.

Croatia hampir dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-18 akibat kekasaran Yannick Carrasco terhadap Andrej Kamaric tetapi rujukan Video Assistant Referee (VAR) menafikannya kerana Kramaric terlebih dahulu berada dalam kedudukan ofsaid.

Memasuki babak kedua banyak peluang terbaik dicipta pemain Croatia dan Belgium dalam usaha mereka untuk memburu jaringan.

Percubaan pertama hadir pada minit ke-49 menerusi pemain gantian, Romelu Lukaku, bagaimanapun tandukannya selepas menerima hantaran Kevin De Bruyne dalam kawasan penalti ditangkap kemas Dominik Livakovic.

Selang seminit kemudian, giliran Matteo Kovacic pula mengancam kubu Belgium tetapi Thibaut Courtois lebih bersedia untuk menepis keluar percubaan dalam kawasan penalti itu.

Courtois terus diuji dengan rembatan dalam kawasan penalti oleh Marcelo Brozovic dan Luka Modric, namun beliau masih kental bertahan untuk menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Lukaku memiliki beberapa peluang menjaringkan gol namun ketumpulan penyudah memastikan Belgium sekadar seri tanpa jaringan.

Lukaku berpeluang untuk mendapatkan jaringan kemenangan buat Belgium tetapi rembatan jarak dekat dilakukannya sekadar singgah di tiang gol ketika Livakovic hanya mampu melihat sahaja percubaan pada minit ke-60 itu.

Tidak cukup dengan itu, tandukan Lukaku berselang dua minit kemudian ketika Livakovic gagal untuk menumbuk keluar bola pula sekadar melewati palang gol.

Kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Croatia menjadi naib juara kumpulan dan akan bertemu juara kumpulan E (antara Sepanyol, Jepun, Jerman dan Costa Rica). -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.