PETALING JAYA: Kira-kira 50,000 penduduk Setia Ecohill 2, Semenyih terpaksa berdepan bau busuk daripada kandang kerbau di Sungai Kembung sejak lapan tahun lalu, meskipun pelbagai aduan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa.
Wakil penduduk, Ranjit Singh Sarjit Singh berkata, penduduk berhak menikmati persekitaran kediaman yang bersih dan selesa tanpa gangguan bau busuk yang menjejaskan kehidupan harian serta menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan.
Menurutnya, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sebelum ini mengadakan operasi bersepadu bersama agensi berkaitan dan wakil penduduk, termasuk mengadakan pertemuan dengan pengusaha kandang kerbau berkenaan, namun masalah itu masih belum diselesaikan.
“Sehingga kini, kami masih belum dimaklumkan tentang pelaksanaan operasi tersebut, hasil tindakan penguatkuasaan atau tempoh penyelasaian yang ditetapkan.
“Kelewatan berpanjangan ini menimbulkan persoalan serius tentang pelaksanaan tanggungjawab dan keberkesanan penyelarasan antara jabatan serta agensi yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Ranjit Singh berkata, kandang kerbau itu dipercayai beroperasi tanpa lesen MPKj, permit bangunan dan kebenaran pemilik tanah.
Katanya, pengusaha juga disyaki menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran serta menjalankan aktiviti penternakan tanpa kelulusan.
“Selain itu, tapak tersebut difahamkan berada dalam zon perumahan, bukannya zon penternakan atau komersial,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, penduduk menuntut pihak berkuasa memberikan pengesahan bertulis dan penjelasan berhubung statusnya berdasarkan Rancangan Tempatan (RT) 2010 hingga 2030.
“Kami juga mahu meminta senarai tindakan yang diambil sejak 2018, termasuk susulan arahan Yang Dipertua MPKj, selain pelan penguatkuasaan dengan tempoh penyelesaian yang jelas.
“Penduduk juga meminta semua rekod aduan terdahulu berserta kronologi isu itu disertakan untuk rujukan dan tindakan pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, penglibatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperlukan bagi menyiasat kemungkinan wujud unsur perlindungan, campur tangan tidak wajar atau rasuah yang menghalang tindakan penguatkuasaan.
“Ketiadaan tindakan yang jelas meskipun aduan berulang kali dibuat menimbulkan kebimbangan yang perlu disiasat secara bebas dan telus.
“Penduduk turut menggesa Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor serta Unit Integriti dan Transparensi MPKj menyiasat tanggungjawab pegawai daripada jabatan dan agensi berkaitan sekiranya terdapat kegagalan melaksanakan tugas,” katanya. – UTUSAN











