Sembilan Geng Yunaa didakwa esok, kaut RM5.4 juta setahun hasil pelacuran

Sembilan Geng Yunaa didakwa esok, kaut RM5.4 juta setahun hasil pelacuran

M.KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Satu kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Yunaa dipercayai terbabit kegiatan pelacuran membabitkan kanak-kanak bawah umur, remaja tempatan dan warga asing di sekitar Selangor serta Kuala Lumpur, tumpas selepas sembilan individu ditahan.

Kesemua individu berusia antara 18 hingga 44 tahun ditahan dalam operasi khas Op Angel dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Selangor dari 24 hingga 26 September lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan itu mempunyai 10 ahli diketuai seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kumpulan itu dipercayai aktif sejak awal 2024 dan dikenal pasti terbabit dalam 17 kes pelacuran serta pemerdagangan kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi seks.

Katanya, kumpulan itui mampu meraih pendapatan sehingga RM15,000 sehari hasil kegiatan terbabit.

“Bagi mendapatkan pelanggan, kumpulan berkenaan menggunakan aplikasi Telegram menerusi saluran “KLSELANGORFL” untuk mempromosikan perkhidmatan pelacuran dengan anggaran 20 hingga 30 individu ditawarkan setiap hari.

“Pelanggan dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM350 bergantung pada pakej dan lokasi perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pembayaran perkhidmatan itu dipercayai dibuat secara tunai selain menerusi Touch ‘n Go atau kod QR kepada ejen pelacuran dikaitkan dengan kumpulan itu.

“Kumpulan ini dipercayai memperoleh kira-kira 100 pelanggan sehari dengan mengambil komisen RM150 daripada setiap pelanggan manakala bakinya dibayar kepada individu yang dieksploitasi.

“Berdasarkan anggaran itu, kumpulan berkenaan mampu menjana RM15,000 sehari bersamaan RM450,000 sebulan atau RM5.4 juta setahun sekiranya kegiatan tersebut berterusan pada kadar sama,” jelasnya.

Katanya, tujuh ahli kumpulam terbabit ditahan di sekitar lembah klang manakala dua lagi ahli dilaporkan sedang ditahan di Penjara Kajang dan Sekolah Henry Gurney, Melaka berkaitan kesalahan pemerdagangan kanak-kanak dan pelacuran.

Jelasnya, polis turut mengenal pasti seorang lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesan suspek berkenaan sedang giat dijalankan.

“Dalam operasi itu,  sebanyak 14 telefon bimbit, 33 kotak kondom pelbagai jenama, enam kotak ubat pencegah kehamilan, tuala serta gel pelincir yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan dirampas.

“Semakan mendapati beberapa individu yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk berkaitan pelacuran, pemerdagangan orang, pengedaran dadah dan penipuan,” jelasnya.

Katanya, kegiatan kumpulan itu bukan sahaja membabitkan keuntungan kewangan melalui pelacuran, malah mengeksploitasi golongan rentan, khususnya kanak-kanak bawah umur.

“Eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak berisiko meninggalkan kesan trauma psikologi berpanjangan, selain menjejaskan perkembangan emosi, sosial dan masa depan mangsa,” jelasnya.

Katanya, kesemua tangkapan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Hasil siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan persetujuan diperoleh untuk mendakwa ahli kumpulan berkenaan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya esok,” katanya.

Tambah beliau, tindakan berterusan akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terbabit dalam jenayah terancang bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

“Orang ramai turut diseru supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan jenayah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini