PUTRAJAYA: Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang sebulat suara bersetuju menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuktikan parti itu terus kukuh dan tiada kem.
Demikian reaksi spontan Perdana Menteri, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO ketika ditanya berhubung kesepakatan MKT yang bermesyuarat malam kelmarin untuk memilih beliau sebagai calon tunggal bagi jawatan itu pada PRU15.
“Ini membuktikan bahawa UMNO terus bersatu walaupun macam-macam pihak yang kata mengenai parti, tetapi keputusan itu telah menunjukkan apa diperkatakan adalah tidak benar.
“(Malah) UMNO terus kukuh, solidaritinya lebih kuat, tiada kem pun dalam UMNO,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Coop Community Mart di Presint 17, di sini semalam.
Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi kenyataan di ibu negara memaklumkan MKT sebulat suara memilih Ismail Sabri bagi terus menyandang jawatan Perdana Menteri pada PRU15.
Keputusan berkenaan disifatkan sebagai di luar jangkaan banyak pihak.
Ia susulan spekulasi politik tanah air yang beranggapan UMNO kemungkinan memilih bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon bakal Perdana Menteri ke-10.
Meramalkan
Selain itu, ada yang meramalkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hassan bagi diangkat ke jawatan tersebut susulan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi masih bergelut dengan perbicaraan di mahkamah.
Persetujuan itu itu sekali gus mencipta sejarah kerana UMNO merekodkan bukan penyandang jawatan presiden parti itu dilantik sebagai Perdana Menteri kecuali ketika zaman Datuk Onn Jaafar dan Ahmad Zahid.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri mengucapkan penghargaan kepada kepimpinan parti yang turut digelar sebagai ‘Top 5’ dan kesemua anggota MKT kerana menamakan beliau bagi menerajui negara pada penggal seterusnya.
“Saya tidak tahu jika keputusan itu sebagai isyarat PRU15 akan semakin hampir,” jelasnya berseloroh apabila ditanya kemungkinan Parlimen boleh dibubarkan dalam masa terdekat.
Ditanya adakah kerajaan pimpinan beliau akan akur dengan keputusan MKT UMNO, beliau berkata, pada kebiasaannya ia sepatutnya diikuti oleh semua anggota pentadbiran negara.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan pelbagai perkara kemungkinan boleh berlaku yang akan menyaksikan perubahan tertentu kepada ‘corak’ politik tanah air sehingga akhir Julai depan.
Ini kerana MKT UMNO turut memutuskan untuk tidak akan meneruskan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan dengan pihak pembangkang pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Ismail Sabri memberi jaminan akan membawa segala perkembangan semasa ke dalam mesyuarat MKT kerana beliau juga masih tertakluk kepada keputusan badan tertinggi parti.
“Sekarang ini masih lagi bulan April, jadi kita tengoklah, biarlah dapat menyambut Hari Raya Puasa dulu, tetapi kalau ada apa-apa perubahan, MKT akan bincang semula,” tambah beliau.- UTUSAN








