SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad didakwa sudah bernikah pada 1 Februari lalu susulan tular dalam media sosial sekeping gambar beliau berbusana baju Melayu berwarna putih lengkap bersamping bersama seorang wanita.
Bagaimanapun, sumber Utusan Malaysia menafikan Khalid sudah bernikah dan memaklumkan majlis tersebut tidak dapat berlangsung berikutan ketiadaan jurunikah ketika beliau bersama keluarga hadir dekat sebuah masjid di Kubang Kerian, Kelantan.
Menurutnya, pernikahan tidak dapat dilangsungkan kerana jurunikah tidak berkelapangan pada tarikh tersebut walaupun kebenaran sudah pun diperoleh daripada Jabatan Agama Islam Kelantan (JAIK) pada 31 Januari lalu.
Namun, Pengarah Komunkasi Parti Amanah Negara (Amanah) itu difahamkan akan bernikah dengan bakal isteri keduanya pada Rabu, 6 Februari ini.
“Beliau belum bernikah lagi. Gambar itu memang benar beliau hendak bernikah tetapi tidak jadi kerana 31 Januari lalu baharu dapat kebenaran bernikah, tetapi ketika itu sudah lewat petang dan jurunikah sudah tiada.
“Masa itu pun sudah mula cuti umum Tahun Baharu Cina, jadi pastilah mereka pun hendak bercuti juga. Tetapi beliau kelihatan tidak sabar dan sanggup tunggu di masjid pada 1 Februari itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Bagaimanapun, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu tidak mengangkat panggilan ketika cuba dihubungi bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini membenarkan membenarkan Khalid berpoligami selepas beliau bersetuju menunaikan hak-hak isterinya, Dr. Zaitun Abu Bakar.
Keputusan itu dibuat Hakim Abdul Halim Abdullah yang membenarkan permohonan pembelaan daripada Zaitun untuk membuat penyelesaian secara baik dengan suaminya di hadapan beliau.
Antara persetujuan yang dicapai di hadapan hakim adalah menyerahkan hartanah seperti sebuah rumah banglo dan penthouse di Shah Alam serta kereta Proton X70 kepada isteri sedia ada selain nafkah bulanan yang diberikan.
Malah, Zaitun sebelum ini turut memaklumkan hubungannya dengan Khalid tetap baik walaupun Mahkamah Tinggi Syariah memberi kebenaran kepadanya untuk berpoligami.
Katanya, beliau masih menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri begitu juga hubungan Khalid dengan anak-anak tetap baik walaupun mengetahui bapa mereka bakal berkahwin lagi.










