Benarkan kempen penuh jika betul Omicron terkawal - Guan Eng

Benarkan kempen penuh jika betul Omicron terkawal – Guan Eng

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada sebab untuk mengekang parti politik untuk berkempen seperti biasa jika benar gelombang Covid-19 varian Omicron terkawal dalam negara.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa kerajaan gagal menguruskan penularan varian Omicron dalam negara dan hanya menggunakannya untuk kepentingan politik sendiri terutama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Di sebalik gelombang baharu, kerajaan bertegas untuk meneruskan PRN Johor dan tidak akan ditangguhkan serta kerajaan bercadang untuk membuka semula sempadan negara pada 1 Mac nanti.

“Ini tidak berbeza dengan amalan negara Barat yang membuat demikian kerana angka kematian yang rendah dan bukan disebabkan Omicron. Jika begitu, maka tidak ada sebab untuk tidak membenarkan kempen penuh termasuk ceramah atau perhimpunan awam untuk PRN Johor.

“Pengurusan kerajaan bagi varian Omicron setakat ini menunjukkan kegagalan dan kelalaian tugas yang teruk serta digunakan untuk kepentingan politik sendiri untuk mendapatkan kelebihan maksimum pengundian pada PRN Johor akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Guan Eng pertikaikan sama ada kerajaan boleh dianggap serius dalam pengurusan Covid-19 apabila kali terakhir jawatankuasa itu bermesyuarat dengan dipengerusikan oleh Ismail Sabri adalah pada 5 November 2021.

Setakat ini, Malaysia telah mencatatkan 32,075 jumlah kematian sekali gus merupakan negara yang mencatatkan kematian per kapita tertinggi di rantau Asia.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga merupakan bekas menteri kewangan berkata walaupun dengan gelombang baharu yang melanda, kerajaan masih tidak mengadakan mesyuarat jawatankuasa pengurusan Covid-19 sejak tiga bulan lalu.

“Daripada menumpukan sepenuhnya untuk mengatasi gelombang jangkitan terbaru yang kini telah mencapai hampir tiga juta kes, tiada mesyuarat jawatankuasa tertinggi Pengurusan Covid-19 diadakan sejak tiga bulan lalu.

“Jelas sekali kegagalan untuk bermesyuarat dan membuat keputusan untuk mengawal gelombang terbaru Omicron adalah satu lagi kegagalan dan pengabaian tugas yang teruk di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×