Tiga individu termasuk pasangan suami isteri edar dadah ditahan - Utusan Malaysia

Tiga individu termasuk pasangan suami isteri edar dadah ditahan

MOHD. Roze Shaari (dua kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri dan merampas tujuh kilogram dadah yang bernilai kira-kira RM224,850 di sini pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, tiga suspek tersebut ditahan di dua lokasi berasingan dan masing- masing memiliki sebanyak dua kilogram jenis heroin dan lima kilogram lagi syabu.

Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan terhadap seorang peniaga lelaki berusia 22 tahun di sebuah flat dekat Mergong di sini kira-kira pukul 12 tengah hari, Rabu lalu.

“Pemeriksaan dijalankan terhadap lelaki itu menemukan satu plastik lutsinar dalam sebuah beg silang. Dalam beg plastik itu pula, terdapat lapan peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat kira-kira 56.2 gram.

“Susulan tangkapan tersebut, kami memberkas pula sepasang suami isteri berusia 40 dan 37 tahun selepas menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dinaiki mereka, di tepi Jalan dekat  Simpang Empat di sini pada pukul 5 petang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin.

Roze menambah, pemeriksaan dijalankan kemudiannya menemukan satu peket plastik lutsinar berisi ketulan disyaki dadah jenis heroin, seberat kira-kira 0.3 gram dalam beg pinggang dipakai individu lelaki terbabit.

“Soal siasat dilakukan terhadap pasangan suami isteri itu membawa kepada serbuan terhadap sebuah rumah di Kampung Radek, Sik pada hari sama. Di situ kami menemukan sembilan peket lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 5.5 kilogram dan heroin seberat kira-kira 1.6 kilogram.

“Secara keseluruhannya terdapat lebih tujuh kilogram dadah terdiri daripada 1.9 kilogram heroin dan 5.5 kilogram syabu dirampas. Kesemua dadah tersebut dipercayai boleh digunakan kira-kira 62,000 penagih,” katanya.

Katanya, suami wanita itu yang memiliki enam rekod jenayah narkotik, dipercayai menjadi ‘mastermind‘ dalam kegiatan tersebut dan mereka dipercayai telah bergerak aktif antara enam hingga lapan bulan lalu.

“Ujian urin terhadap kedua-dua lelaki itu mendapati mereka positif dadah jenis MOP manakala wanita itu pula negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama seminggu bermula 20 Januari hingga 26 Januari depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya