GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) segera menyiasat projek perintis penanaman padi pulut di Pulau Langkawi yang menimbulkan pelbagai masalah kepada pesawah yang menyertai projek tersebut.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya mendapat aduan daripada pesawah terlibat berhubung masalah yang berpunca daripada kelemahan pengurusan projek tersebut telah menyebabkan mereka mengalami kemerosotan hasil pendapatan dan kerugian yang besar.
Jelasnya, CAP mendapati kawasan sawah yang ditanam padi pulut itu kering kontang dan banyak pokok padi mati akibat ketiadaan bekalan air selain saliran pula dipenuhi semak-samun dan tidak dibersihkan.
“Mereka yang terjejas sumber pendapatan wajar diberi pampasan yang setimpal dan MAFI perlu mendedahkan hasil siasatan punca masalah yang berlaku dan tindakan yang diambil bagi menanganinya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Projek yang diuruskan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) itu dilancarkan pada 2019 melibatkan 400 peserta yang mengusahakan penanaman padi pulut seluas kira-kira 2,000 relong sejak tiga musim lalu.
- Ini baru aktor hebat, tak perlu juta-juta pengikut– Ogy Ahmad Daud
- Trend unboxing pasangan: ‘Tolong jaga kehormatan isteri’ – Zulkifli
Sementara itu, pesawah, Ahmad Nayan, 54, berkata, hasil pendapatannya merosot mencecah 70 peratus pada musim menuai berikutan masalah yang berlaku seperti kelewatan memulakan kerja-kerja penanaman dan bekalan air tidak mencukupi.
“Jika masalah seperti ini tidak berlaku, kami mampu memperoleh RM1,600 serelong seperti pesawah yang menanam padi biasa, tetapi malangnya kami hanya mendapat kira-kira RM200 serelong,” katanya.
Bagi Yaakob Saad, 74, pula, dia juga amat bimbang dengan masa depannya dan keluarga berikutan masalah yang dihadapi itu.
“Sudahlah untuk mendapatkan hasil tuaian mengambil masa yang lama iaitu enam bulan berbanding padi biasa yang hanya empat bulan, pertumbuhan pokok padi pulut yang kami usahakan pula dilanda berbagai masalah dan teruk terjejas hasilnya” katanya.
Dia yang turut terlibat dengan projek penanaman padi pulut seluas tujuh relong itu berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasi masalah yang mereka hadapi.
“Kami yang terlibat merupakan pesawah miskin yang menyewa tanah sebanyak RM300 serelong bagi menyertai projek ini, tetapi hasil yang kami peroleh amat mendukacitakan” jelasnya.










