Pemimpin keluar, PKR kekal kukuh - AMK

Pemimpin keluar, PKR kekal kukuh – AMK

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang pada Program Sumbangan Komputer Riba dan Bantuan Awal ke Institusi Pengajian Tinggi di Politeknik Kota Bharu,Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan beberapa pemimpin PKR termasuk bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad meninggalkan parti itu tidak menjejaskan kedudukan PKR dalam mendepani arus politik tanah air.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, situasi yang berlaku hari ini bukan perkara baharu malah PKR  sudah melalui pelbagai cabaran sepanjang penubuhannya.

Katanya, kemelut terbesar berlaku pada 2020 melalui Langkah Sheraton apabila ramai pemimpin meninggalkan perjuangan sehingga ramai menjangkakan PKR lumpuh.

“Namun tanggapan tersebut meleset selepas parti ini berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-11.

“Alhamdulillah, PKR kekal kukuh malah terus menerima pertambahan anggota dari semasa ke semasa. Goyah? Tidak goyah pun. Bahkan kita terus kekal kukuh. Ini sebahagian daripada proses demokrasi,” katanya selepas Program Sumbangan Komputer Riba dan Bantuan Awal ke Institusi Pengajian Tinggi di Politeknik Kota Bharu, di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, AMK melihat semua parti-parti Melayu di negara ini perlu bersatu dalam mempertahan isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja sepertimana saranan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin.

Beliau yakin isu itu tidak pernah menjadi titik kompromi dalam kalangan pemimpin Melayu.

“Bagi saya perkara itu jelas. Saya tidak fikir orang Melayu bergaduh apabila bercakap soal mempertahan 3R. Perbezaan politik antara parti tidak seharusnya dilihat sebagai pertelagahan dalam mempertahan asas-asas penting negara.

“Pertama tentang kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, soal Raja-Raja Melayu dan juga bahasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN