Gelombang haba ekstrem cetus rekod baharu di India - Utusan Malaysia

Gelombang haba ekstrem cetus rekod baharu di India

PEKERJA mengalihkan sebuah mesin penyejuk daripada kereta sorong di luar sebuah kedai pada hari musim panas yang panas di Varanasi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Sektor penjanaan tenaga elektrik di India mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah selepas sebahagian besar wilayah di negara paling padat penduduk di dunia itu terus dilanda gelombang haba yang melampau, menurut kenyataan Kementerian Kuasa India.

Kementerian itu mendedahkan bahawa Khamis merupakan hari keempat berturut-turut menyaksikan permintaan tenaga elektrik pada waktu puncak (waktu siang) mencecah paras tertinggi yang baharu.

Tepat jam 3.45 petang waktu tempatan pada hari berkenaan, ketika suhu di ibu negara New Delhi melonjak sehingga 45.3 darjah Celsius, permintaan tenaga elektrik pada waktu puncak di seluruh negara yang mencecah 270.82 gigawatt (GW) telah berjaya dipenuhi sepenuhnya.

 “Ini merupakan pencapaian tertinggi baharu bagi permintaan tenaga pada waktu puncak yang berjaya dipenuhi,” jelas kementerian itu. Ia  melepasi rekod hari Rabu iaitu sebanyak 265.44 GW. 

Pihak kementerian turut menambah bahawa lonjakan mendadak ini berkait rapat dengan peningkatan drastik penggunaan alat pendingin hawa dan kipas oleh penduduk.

Sektor janakuasa termal yang sebahagian besarnya bergantung kepada arang batu menyumbang sebanyak 62 peratus daripada keseluruhan penjanaan tenaga tersebut. 

Ini diikuti oleh tenaga solar sebanyak 22 peratus, manakala tenaga angin dan hidroelektrik masing-masing menyumbang lima peratus dengan selebihnya diperoleh daripada sumber-sumber lain.

India, yang merupakan negara ketiga terbesar di dunia bagi pelepasan gas rumah hijau, telah komited untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2070. Namun, realitinya negara tersebut masih amat bergantung kepada penggunaan arang batu.

Meskipun laporan rasmi menunjukkan pengeluaran tenaga berjalan lancar, beberapa pengikut akaun media sosial X rasmi kementerian berkenaan melaporkan bahawa gangguan bekalan elektrik tetap berlaku di daerah mereka. 

Suhu yang terlalu panas dilaporkan boleh membebankan sistem pendawaian lama serta pencawang elektrik, sehingga  mencetuskan gangguan bekalan di kawasan setempat.

Negara Asia Selatan yang dihuni oleh 1.4 bilion penduduk ini sememangnya sudah biasa dengan cuaca panas terik, dengan gelombang haba yang kerap berlaku antara bulan April hingga Jun setiap tahun. Bagaimanapun, kajian saintifik selama bertahun-tahun mendapati bahawa perubahan iklim telah menyebabkan gelombang haba kini menjadi lebih panjang dan lebih kerap..

Jabatan Meteorologi India menyatakan suhu maksimum tertinggi yang direkodkan pada Khamis adalah 47.6 darjah Celsius di bandar Banda, dalam wilayah Uttar Pradesh. 

Bagaimanapun, angka itu sedikit rendah berbanding rekod awal minggu lalu yang mencecah 48.2 darjah Celsius.

Suhu tertinggi yang pernah dicatatkan secara rasmi di India adalah 51 darjah Celsius yang diukur di Phalodi, wilayah Rajasthan pada 2016. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN