KUALA LUMPUR: Pengurus skuad sepak takraw negara, Datuk Abu Jimi Samat mengesahkan tekong utama negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi tidak akan diturunkan dalam aksi final acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 menentang Thailand susulan kecederaan Tendon yang dialaminya belum pulih sepenuhnya.
Menurut Abu Jimi, keadaan kecederaan pemain itu tidak memungkinkan proses pemulihan dilakukan dalam tempoh yang singkat sekali gus memaksa pasukan negara mengatur semula percaturan menjelang aksi penentuan kejuaraan.
“Saya rasa Syahir tak boleh diturunkan kerana kecederaan dia itu tak boleh ‘cover’ dalam tempoh yang sangat singkat,” katanya.
Malaysia sebelum itu mengesahkan tempat ke final selepas menundukkan Indonesia 2-0 dalam aksi separuh akhir dramatik yang menyaksikan skuad negara dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan.
Abu Jimi mengakui Malaysia sudah menjangka tentangan sengit daripada Indonesia berdasarkan persiapan rapi lawan yang diperkuatkan dengan kemasukan beberapa pemain muda berbakat.
“Kita memang berhati-hati dengan Indonesia kerana melihat rekod dan persiapan mereka. Tapi kita tak jangkakan tentangan yang begitu hebat, terutama regu kedua mereka yang sememangnya regu utama Indonesia.
“Kita pula meletakkan regu utama tetapi sedikit terjejas kerana Syahir cedera,” katanya.
Beliau turut mengakui persembahan Haziq yang diberi tanggungjawab mengisi kekosongan Syahir masih belum mencapai tahap sebenar seperti dipamerkan ketika latihan.
“Berdasarkan prestasi latihan, kita yakin Haziq mampu menggalas tugas tekong utama. Tapi hari ini prestasinya tidak cukup mantap seperti dalam latihan.Set pertama saya lihat kita serba tak menjadi,” katanya.
Menjelang final menentang Thailand, Abu Jimi menegaskan skuad negara perlu segera memperkemaskan kelemahan kerana persiapan sebenar pasukan sejak awal sememangnya menjurus kepada misi menewaskan musuh tradisi itu.
“Persediaan kita dalam sepak takraw ini memang untuk berhadapan Thailand. Kita mahu mempertahankan pingat emas dan memburu kejuaraan acara berpasukan Piala Dunia yang masih belum kita miliki,” katanya.-UTUSAN










