KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak sikap ahli politik tertentu yang dilihat lebih banyak mengeluh berbanding golongan peniaga kecil di negara ini.
Beliau berkata, semangat golongan peniaga kecil amat dikagumi walaupun berdepan bebanan kos sara hidup, sedangkan pengusaha perniagaan besar sering merungut seolah-olah tidak mampu untuk bertahan dalam ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
“Sebenarnya peniaga kalau peringkat rendah ini keluhan dia sangat minimal, yang besar-besar itu yang banyak mengeluh dan yang mengeluh paling kuat orang-orang politik yang sudah tergelincir ini.
“Alhamdulillah tiada (peniaga kecil) hendak berleter dan asyik merengek sepanjang masa. Itu hanya orang politik tertentu sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditanya berhubung keluhan peniaga kecil yang didengarnya ketika membuat lawatan ke Pasar Tani Taman Melawati di sini hari ini. – UTUSAN










