10,000 penjawat awam, profesional ICT dilatih ancaman siber

10,000 penjawat awam, profesional ICT dilatih ancaman siber

ANWAR Ibrahim menerima kunjungan hormat dari wakil syarikat Blackberry di Perdana Putra, Putrajaya, semalam. PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hampir 10,000 penjawat awam dan profesional Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) diberikan latihan dalam menghadapi ancaman siber menerusi kursus serta persijilan keselamatan siber sejak 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif yang dilaksanakan menerusi Malaysia CyberSecurity Centre of Excellence (CCoE) di Cyberjaya itu membantu memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman siber dan cabaran pasca kuantum yang semakin kompleks.

“Hari ini saya menerima kunjungan hormat delegasi BlackBerry Limited yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presidennya, John Giamatteo bersama pimpinan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Ini bagi membincangkan usaha memperkukuh kompetensi tempatan dalam bidang keselamatan siber dan teknologi masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Anwar berkata, beliau turut dimaklumkan mengenai kerjasama strategik melibatkan program Smart Campus dan pembangunan teknologi BlackBerry QNX bagi sektor kenderaan elektrik, semikonduktor serta automasi industri.

Selain itu, katanya, inovasi Alat Dialisis Mudah Alih PeritoCare hasil kepakaran anak tempatan turut diketengahkan dalam pertemuan tersebut.

“Semoga sinergi kerajaan, industri dan akademia terus diperkasa demi mengangkat inovasi serta teknologi ciptaan anak Malaysia ke persada dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN