Malaysia tepati ramalan ke final acara berpasukan

Malaysia tepati ramalan ke final acara berpasukan

AKSI pemain sepaktakraw kebangsaan, Muhammad Haziq Hairul Nizam, Farhan Adam dan Mohd Azlan Alias ketika menentang pasukan Indonesia pada peringkat separuh akhir sepaktakraw Regu Berkumpulan pada Kejohanan Piala Dunia Sepaktakraw TM ISTAF 2026 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.-UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara menepati ramalan apabila berjaya melangkah ke peringkat akhir acara berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas menundukkan Indonesia 2-0 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan Malaysia semakin hampir untuk merealisasikan misi merangkul kejuaraan acara berpasukan di hadapan penyokong sendiri.

Malaysia mempamerkan aksi meyakinkan sejak awal saingan apabila regu pertama yang dibarisi tekong, Zulkifli Abd Razak bersama Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwa tampil cemerlang menewaskan regu pertama Indonesia dengan keputusan 15-7, 15-9.

Momentum kemenangan tersebut diteruskan oleh regu kedua menerusi gandingan Haziq Hairul Nizam, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias yang terpaksa bekerja lebih keras sebelum menundukkan cabaran sengit lawan.

Regu negara berdepan tentangan hebat daripada trio Indonesia diketuai perejam berpengalaman, Saiful Rijal bersama Yudha Aswinatama dan Muhammad Hardiansyah Muliang, namun berjaya bangkit untuk mencatat kemenangan 10-15, 17-16, 15-9.

Kejayaan itu memastikan Malaysia mengesahkan slot ke final dan kini hanya selangkah lagi untuk menjulang gelaran.

Pada aksi final malam ini, skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun bakal berdepan musuh tradisi, Thailand yang terlebih dahulu menewaskan Korea Selatan 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir. – UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN