Pendaki Britain tiba puncak Everest kali ke-20 - Utusan Malaysia

Pendaki Britain tiba puncak Everest kali ke-20

KENTON COOL - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Pendaki Britain, Kenton Cool berjaya tiba di puncak Gunung Everest buat kali ke-20 pada Jumaat dan menyebabkannya memperbaiki rekodnya sendiri sebagai individu bukan Nepal dengan jumlah pendakian tertinggi di dunia.

Lebih 600 pendaki telah berjaya sampai ke puncak sejak musim pendakian musim bunga bermula bulan ini, memanfaatkan tempoh cuaca baik yang singkat serta angin yang biasanya lebih tenang.

“Beliau telah tiba di puncak Everest pagi tadi (semalam),” kata seorang pegawai kerajaan di kem asas, Khim Lal Gautam kepada AFP.

Cool, 52, pertama kali mendaki Everest pada 2004 dan sejak itu hampir setiap tahun menyertai ekspedisi, membawa pelanggan ke puncak setinggi 8,849 meter itu.

Pendakiannya yang ke-15 pada 2021 menyamakan rekodnya dengan pendaki Amerika Syarikat (AS), Dave Hahn untuk jumlah pendakian terbanyak oleh bukan warga Nepal, sebelum pendakian berikutnya menjadikannya sebagai pemegang rekod tunggal.

Cool pernah diberitahu bahawa beliau mungkin tidak akan dapat berjalan tanpa bantuan lagi selepas kemalangan panjat batu pada 1996 yang mematahkan kedua-dua tulang tumitnya.

Dalam temu bual AFP pada 2022 selepas pendakian ke-16, beliau berkata, rekod Everestnya tidak begitu hebat jika dibandingkan dengan pencapaian pendaki Nepal.

Sekurang-kurangnya tujuh pendaki Nepal mempunyai lebih daripada 20 pendakian ke puncak Everest. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN