Ibu maut dipenggal anak dengan parang - Utusan Malaysia

Ibu maut dipenggal anak dengan parang

LOKASI kejadian wanita maut dipenggal anak lelakinya sendiri semalam di rumahnya di Kampung Baru Pasir Penambang di Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seorang wanita maut dalam keadaan menyayat hati apabila dipenggal anak lelakinya sendiri di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang di sini, petang semalam.

Lebih memilukan, kepala mangsa berusia 56 tahun itu ditemukan dalam rumah berkenaan selepas dipenggal suspek dengan parang.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai seorang wanita dicederakan anak berusia 28 tahun itu pada pukul 5.45 petang.

Katanya, hasil siasatan polis bersama Unit Forensik kemudian mendapati mangsa berada di ruang tamu rumah dengan kesan darah.

“Kejadian disedari apabila salah seorang  anak mangsa gagal menghubunginya dan  segera pergi ke rumah berkenaan.

“Setibanya di lokasi, anak mangsa melihat keadaan rumah berlumuran darah dan suspek melarikan diri di belukar belakang kediaman itu,” katanya hari ini.

Jelas Ramli, pihaknya dengan bantuan penduduk kampung berjaya menahan suspek yang bersembunyi dalam semak tersebut.

“Kita turut menemukan parang yang  disyaki digunakan untuk memenggal mangsa dalam tandas rumah itu.

“Suspek yang juga penganggur dipercayai menetap bersama ibu dan bapanya manakala adik beradik lain menyewa di kawasan berhampiran,” jelasnya.

Kata beliau, hasil ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Permohonan reman sudah dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan dibenarkan reman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini,” katanya.

Tambah Ramli, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati ahli keluarga mangsa sedang membersihkan rumah berkenaan namun enggan ditemu bual.

Terdahulu, kes pembunuhan ngeri itu tular di media sosial dengan memaparkan seorang anak tergamak membunuh ibunya sendiri dengan memenggal kepala di lokasi tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya