Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia tidak perlu buat permohonan, terus pergi pusat servis sehingga 31 Mac - Utusan Malaysia

Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia tidak perlu buat permohonan, terus pergi pusat servis sehingga 31 Mac

SEBAHAGIAN kenderaan yang musnah dalam kejadian banjir besar melanda sekitar Shah Alam, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemilik kenderaan yang terjejas akibat banjir boleh memanfaatkan Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 di pusat servis atau pengedar sah syarikat automotif terlibat tanpa perlu membuat sebarang permohonan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengurangan kos  pembaikan dinikmati secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan pusat servis dan pengedar sah.

Menurut beliau, setakat ini, hampir 20 syarikat automotif dengan rangkaian lebih daripada 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara bersetuju untuk menyertai inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia.

“Senarai syarikat yang terlibat bersama dengan pendaftaran pusat servis sah serta bengkel, terutamanya untuk motosikal akan dikemas kini sepanjang tempoh pelaksanaan.

“Pemilik kenderaan boleh menghubungi syarikat automotif berkenaan untuk mengetahui pusat servis yang berdekatan dan tarikh akhir tuntutan inisiatif baucar berkenaan adalah pada 31 Mac depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan kemudahan bantuan bencana melalui inisiatif baucar itu sehingga RM1,000 kepada warganegara layak untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.

Inisiatif ini merupakan usahasama antara kerajaan dan syarikat automotif di mana syarikat akan menawarkan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus bagi kerja pembaikan serta kos tunda kenderaan secara percuma.

Dalam hal ini, kata beliau, kerajaan mengalu-alukan langkah syarikat Perodua dan Proton menawarkan diskaun 50 peratus ke atas kos alat ganti dan Perodua menawarkan upah kerja pembaikan secara percuma.

Tengku Zafrul berkata, para pengguna terjejas dinasihatkan segera membuat tuntutan dari  pusat servis atau pengedar sah yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Dengan inisiatif baucar diskaun automotif ini, katanya, kerajaan terus komited memastikan bantuan berbentuk holistik kepada Keluarga Malaysia khususnya yang terkesan dengan bencana banjir supaya dapat kembali menjalani  kehidupan seperti biasa secepat mungkin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya