fbpx

Ahmad Faizal ada cadangan selesai isu BAM, Zii Jia

AHMAD FAIZAL AZUMU

IPOH: Beberapa cadangan akan dibangkitkan dalam pertemuan antara Kementerian Belia dan Sukan bersama Lee Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun enggan memperincikan perkara itu termasuk cadangan kepada BAM untuk menarik semula keputusan tidak mendaftarkan Zii Jia daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa.

“Sudah tentu saya ada bayangan dan cadangan yang akan diusulkan. Namun, saya fikir tidak sesuai untuk saya kongsi dengan orang ramai sebelum saya berjumpa mereka.

“Kita sama-sama doakan agar kedua-dua pihak dapat mencari solusi terbaik untuk negara. Berkaitan (menarik semula sekatan), akan saya bincangkan dalam pertemuan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Sementara itu, ditanya bilakah pertemuan tersebut akan diadakan, Ahmad Faizal berkata, ia akan dijalankan dalam masa terdekat.

“Saya ingat pegawai saya akan aturkan, kalau tidak salah saya, esok pun ada perjumpaan, apa pun ia akan dilakukan secepat mungkin. Apa yang penting sekarang adalah mencari titik penyelesaian dengan meletakkan kepentingan dan imej negara dalam sukan badminton di mata dunia, dijaga dengan baik,” katanya.

Jumaat lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan juara All England, Zii Jia dalam kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa dari 18 Januari.

Ia susulan keputusan pemain nombor tujuh dunia itu mahu meninggalkan BAM menerusi surat peletakan jawatan yang dihantarnya pada 11 Januari lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN