Moga tahun 2022 beri sinar baharu Keluarga Malaysia - PM - Utusan Malaysia

Moga tahun 2022 beri sinar baharu Keluarga Malaysia – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap, kedatangan tahun 2022 memberikan sinar baharu kepada Keluarga Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, tahun 2021 menyaksikan Covid-19 menular sehingga ia mencapai rekod sebanyak 24,599 kes harian dan mengakibatkan 393 kematian pada 26 Ogos.

Kata beliau, pelbagai langkah proaktif dilaksanakan kerajaan untuk membendung pandemik yang mana usaha bersama antara kerajaan dan rakyat membuahkan hasil apabila mutakhir ini, jumlah jangkitan mencatatkan penurunan sehingga sekitar 3,000 kes harian.

“Walau bagaimanapun, melihat kepada peningkatan kes semasa pada hari ini di negara-negara seperti Amerika Syarikat (589,000 kes), Perancis (206,000 kes) dan United  Kingdom (188,000 kes), kita perlu sentiasa berwaspada dengan wabak ini.

“Tambahan pula dengan kemunculan varian baharu seperti Omicron. Untuk itu, kerajaan mengambil beberapa langkah tertentu untuk bersiap siaga bagi menghadapi sebarang penularan di  negara ini. Kerajaan juga memerlukan sokongan rakyat  untuk terus patuh kepada SOP dan mengamalkan kawalan kendiri,” katanya dalam perutusan khas tahun 2022 di sini malam ini.

Ismail Sabri berkata, tatkala menghampiri penghujung tahun 2021, Keluarga Malaysia diuji dengan bencana banjir yang agak luar biasa  terutama di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan  beberapa negeri lain, bukan sahaja memusnahkan harta benda, malah menyebabkan 48 nyawa menjadi korban banjir.

Namun katanya, di sebalik tragedi dan kesedihan, musibah banjir menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia iaitu kebersamaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi  keselamatan, kakitangan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta individu-individu yang bertungkus lumus membantu dan menyelaraskan misi  bantuan semasa banjir serta melakukan kerja-kerja  pemulihan pasca banjir.

“Begitu juga bantuan dan  sumbangan daripada sektor korporat termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendang. Syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya