KLANG: Hasrat seorang lelaki warga emas untuk menunaikan solat Jumaat bertukar tragedi apabila dia maut ditikam di hadapan rumahnya di Kampung Idaman, Pandamaran di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd. Sani Abdullah, 69, meninggal dunia akibat kecederaan di anggota badan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal pihaknya mendapati perbuatan itu dipercayai dilakukan seorang lelaki.
“Ketika kejadian, mangsa sedang bersiap untuk pergi menunaikan solat Jumaat di sekitar kawasan berkenaan.
“Mangsa kemudian didatangi seorang lelaki yang bertindak menikamnya di badan dengan senjata tajam lalu melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
- Wajah ‘gengster’ buli pelajar tular
- Pelajar ditumbuk di perut: Tidak libatkan institusi Kementerian Pendidikan
- Pelajar ditumbuk di perut: ‘Apakah yang sebenarnya berlaku?’
- Pelaku buli merayu, harap ibu bapa mangsa tak buat laporan polis
Jelas beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.
Tambah Hoong Fong, pihaknya masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengesan suspek kes berkenaan.
“Kita sedang mempergiatkan siasatan dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.










