TPM sertai Rehlah Perdana Bulan Kesiapsiagaan Nasional - Utusan Malaysia

TPM sertai Rehlah Perdana Bulan Kesiapsiagaan Nasional

AHMAD Zahid Hamidi bersama 300 jemaah menyertai Rehlah Perdana Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) Tahun 2026 yang berlangsung di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lebih 300 jemaah menyertai majlis Rehlah Perdana Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) Tahun 2026 yang berlangsung di Masjid Sultan Azlan Shah di sini malam ini.

Program dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Program dimulakan dengan  solat Maghrib diikuti bacaan Yasin, tahlil, zikir munajat dan selawat yang dipimpin oleh Imam Utama masjid, Syed Mohd. Muzzaffar Syed Azlan.

Sebelum memulakan bacaan, Syed Mohd. Muzzaffar berkata, program yang diadakan itu bagi memohon agar negara dihindari daripada sebarang bencana.

“Agar kita dilindungi dan dijauhkan daripada sebarang musibah, termasuk jerebu yang melanda negara ketika ini,” katanya.

BKN 2026 membawa tema ‘Madani Siaga, Tanggungjawab Bersama’, dengan mesej bahawa setiap individu, komuniti dan agensi mempunyai peranan dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta ketahanan menghadapi bencana.

Sebelum itu, majlis peluncuran BKN Tahun 2026 disempurnakan oleh Ahmad Zahid bertempat di Pusat Konvensyen Ipoh, Perak.

Sejak tahun 2016, NADMA telah menjadikan bulan Oktober sebagai Bulan Kesiapsiagaan Nasional.

Penetapan itu adalah bersempena semangat Hari Pengurangan Risiko Bencana Antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan Oktober setiap tahun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini