JDT kalah: Tak perlu tunai janji berbogel - Utusan Malaysia

JDT kalah: Tak perlu tunai janji berbogel

IDRIS Ahmad beramah mesra bersama ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat korporat pada program pertemuan rasmi Jakim bersama ketua-ketua pegawai eksekutif GLCs Malaysia 2021 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad menasihatkan individu yang berjanji akan berbogel demi tujuan tertentu supaya melupakan terus hasrat pelik tersebut.

Menurutnya, janji pelik sedemikian sebenarnya tidak perlu dilaksanakan kerana ia bukan sahaja tidak berfaedah, malah melanggar ajaran Islam yang menetapkan had batas aurat.

“Tidak sepatutnya buat begitu, memanglah konon semangat sukan kerana sokong pasukan tertentu tetapi dari segi syarak, dia tidak perlu melaksanakannya walaupun berjanji,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Jakim bersama 28 pemimpin korporat milik kerajaan (GLC) Malaysia 2021 di Hotel Pulse Grande di sini hari ini.

Pengguna media sosial tempatan kelmarin gempar dengan janji seorang lelaki yang berjanji akan berbogel dari ibu negara ke Johor jika Kuala Lumpur City menang Piala Malaysia.

Bagaimanapun lelaki tersebut dikatakan membatalkan niat berkenaan menyebabkan ramai warganet menjadikan individu itu sebagai bahan jenaka kerana tidak berani menunaikan janji.

Pasukan The City Boys itu melakar sejarah apabila mampu menewaskan gergasi JDT dalam aksi akhir piala berprestij edisi ke-100 tahun tersebut dengan dua jaringan tanpa ada balas.

Sementara itu, ditanya mengenai bilangan kerusi yang akan ditandingi Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 pada 18 Disember ini, Idris berkata, pengumuman rasmi bilangan calon Pas yang muktamad dibuat sebelum menjelang tarikh penamaan calon pada 6 Disember ini.

Selasa lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan parti itu sedia meletakkan kurang 11 kerusi pada PRN berkenaan disebabkan isu wabak Covid-19.

Beliau juga menafikan penyertaan Pas sebagai cuba menentang Gabungan Parti Sarawak yang memerintah negeri tersebut dan sekutu dalam kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, Idris yang juga Naib Presiden Pas berkata, parti berkenaan akan melihat pelbagai faktor semasa terlebih dahulu sebelum memuktamadkan jumlah calon bertanding.

“Pas akan menilai sebarang perkembangan terkini termasuk latar belakang calon yang akan diletakkan kerana ia memerlukan penelitian dan tidak boleh dibuat sesuka hati,” jelasnya.

Sebelum ini, salah satu komponen Perikatan Nasional, Parti Pribumi Bersatu Malaysia sudah mengumumkan secara rasmi tidak akan bertanding dalam PRN berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya