BALATON, Hungary: Bekas juara dunia MotoGP, Jorge Martin mengakui Marc Marquez dan Pedro Acosta merupakan dua pelumba yang perlu diberi perhatian menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Hungary selepas kedua-duanya mempamerkan prestasi cemerlang pada hari pertama sesi latihan, semalam.
Marquez yang masih bergelut dengan kecederaan membuktikan kemampuannya apabila muncul pelumba terpantas dalam sesi latihan bebas pertama (FP1), sebelum Acosta mengambil alih kedudukan tersebut pada sesi petang dengan kelebihan 0.4 saat ke atas pencabar lain.
Martin yang menamatkan hari pertama di kedudukan kesembilan berkata, rentak perlumbaan yang dipamerkan oleh Marquez dan Acosta jauh lebih baik berbanding pelumba lain.
“Pada pandangan saya, Pedro dan Marc adalah pelumba yang perlu ditewaskan kerana mereka sentiasa pantas. Saya dapat melihat rentak mereka lebih kuat daripada kami.
“Bagaimanapun, saya melihat perkembangan positif daripada Aprilia kerana jentera ini menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding ketika berlumba di Balaton musim lalu,” katanya.
Menurut Martin, fokus utamanya kini adalah memperbaiki prestasi ketika melakukan time attack bagi membolehkannya berada dalam kelompok hadapan pada sesi kelayakan.
Katanya, dari segi rentak perlumbaan, dia tetap mampu mencatat masa kompetitif walaupun menggunakan tayar yang telah digunakan untuk beberapa pusingan.
“Saya hanya perlu memahami dengan lebih baik bagaimana untuk menjadi lebih kompetitif dalam time attack.
“Dari segi rentak, saya menggunakan tayar hadapan yang sudah melalui 22 pusingan dan tayar belakang dengan 15 pusingan penggunaan, namun masih mampu mencatat masa yang baik,” katanya.
Martin turut mengakui dia masih belum memahami sepenuhnya karakter jentera Aprilia berbanding ketika bersama pasukan Pramac Racing yang menggunakan motosikal Ducati sebelum ini.
“Ketika saya sering cemerlang dalam sesi kelayakan sebelum ini, saya benar-benar memahami had motosikal yang saya tunggang.
“Dengan Aprilia, saya masih mencari had sebenar jentera ini. Setiap kali saya cuba menolak lebih kuat, akan timbul masalah baharu.
“Ada sektor yang saya sangat pantas, tetapi ada juga sektor yang saya masih bergelut. Saya perlu menggabungkan semuanya dan menjadi lebih konsisten sepanjang satu pusingan,” katanya.
Martin percaya masa ideal yang mampu dicapainya ialah 1 minit 37.4 saat, sekali gus berpotensi meletakkannya dalam kelompok lima pelumba terpantas.
Sementara itu, rakan sepasukannya yang juga pendahulu kejuaraan dunia, Marco Bezzecchi, menamatkan sesi latihan hari pertama di kedudukan keenam terpantas. – AGENSI.










