Malaysia sedia hantar SMART ke Nepal seawal esok

Malaysia sedia hantar SMART ke Nepal seawal esok

50 pegawai dan anggota pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang digerakkan ke Naypyidaw, Myanmar bagi melaksanakan operasi mencari dan penyelamat (SAR).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia akan menggerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) seawal esok bagi membantu operasi mencari dan menyelamat susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal.

Kementerian Luar memaklumkan, pasukan itu terdiri daripada 11 anggota dilengkapi dron berkeupayaan tinggi dan peralatan khusus bagi membantu operasi yang dikendalikan pihak berkuasa Nepal.

Menurut KLN, pasukan berkenaan akan membantu di kawasan yang memerlukan kepakaran teknikal dan keupayaan operasi khusus, tertakluk kepada keperluan operasi dan keadaan keselamatan.

“Susulan kelulusan rasmi oleh Kerajaan Nepal, Malaysia akan mengaturgerakkan pasukan SMART seawal 5 September,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KLN berkata, pasukan sokongan tambahan kementerian juga telah tiba di Kathmandu dan sedang membantu Kedutaan Besar Malaysia dalam penyelarasan dengan pihak berkuasa berkaitan di Nepal berhubung usaha
pencarian dan pengecaman rakyat negara ini yang masih belum dapat dihubungi.

“Ini termasuk penyelarasan berhubung penggunaan sampel DNA bagi tujuan pengecaman.

“Di Malaysia, persediaan berkaitan proses pengecaman juga sedang dilaksanakan, termasuk pengambilan dan analisis sampel DNA daripada waris terdekat oleh polis dan Jabatan Kimia Malaysia dengan penyelarasan KLN,” katanya.

Pada masa sama, KLN berkata, kerajaan juga akan menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$1juta kepada Nepal, seperti yang
diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“KLN menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sementara usaha mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan lokasi rakyat Malaysia yang terlibat masih diteruskan.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan berdasarkan maklumat yang telah disahkan melalui saluran rasmi,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×