Ramai golongan bujang hari ini memberi perhatian terhadap ruang kediaman mereka serta menjadikan ruang tersebut sebagai ruang mereka berkarya serta mengekspresikan personaliti diri.
Justeru, ramai yang sanggup meluangkan masa serta berbelanja mengikut kemampuan bagi mewujudkan suasana kediaman yang selesa dan mempunyai karakter tersendiri.
Bagi Mohd Firdaus Abdul Razak, minat mendalam terhadap seni dekorasi mendorongnya menghasilkan sebuah rumah bujang yang tampil berbeza daripada kebiasaan.
Katanya, kebanyakan pemilik rumah cenderung untuk memilih konsep Muji, minimalis atau gaya moden yang menampilkan elemen ceria dan ringkas.
Namun, bagi Firdaus dia memilih pendekatan yang lebih berani iaitu dengan menggabungkan beberapa konsep dekorasi dalam satu ruang.
Rumahnya tampil dengan gabungan gaya Bauhaus, Mid-Century Modern, Nordic, Medieval serta Maximalism bagi menghasilkan identiti tersendiri.
“Pada asalnya, idea saya hanyalah untuk menghasilkan dekorasi yang berinspirasikan Muji kerana ia kelihatan lebih kemas dan ringkas.

“Namun, apabila berlaku pertambahan perabot serta aksesori yang dibeli sedikit demi sedikit maka terhasillah gabungan beberapa konsep yang membentuk identiti rumah saya,” katanya yang turut menjadikan aplikasi Pinterest sebagai sumber rujukannya.
Katanya, konsep dekorasi yang diketengahkan di negara Barat banyak yang menarik namun masih kurang mendapat perhatian di Malaysia.
Oleh sebab itu, dia mengambil keputusan untuk mencuba sesuatu yang berbeza dengan memilih konsep yang lebih berani dan artistik agar ia kelihatan lebih unik.
“Faktor utama memilih konsep tersebut adalah kerana keunikannya yang jarang ditemui apabila berkunjung ke rumah orang lain.
“Malah, setiap ruang yang dihasilkan mempunyai karakter tersendiri selain turut mendapat pujian setiap kali tetamu hadir berikutan dekorasi ini jarang dilihat,” ujarnya.
Tiga Tahun Hasilkan Kediaman Berkarakter
Firdaus berkata, walaupun hasil akhirnya kelihatan mewah dan tersusun namun proses menyiapkan kediaman tersebut bukanlah berlaku dalam masa yang singkat.
Firdaus menganggarkan kos keseluruhan dekorasi rumahnya berada dalam lingkungan RM10,000 hingga ke RM15,000.

“Ianya merangkumi pembelian perabot, aksesori serta pelbagai elemen lain bagi menghidupkan konsep ini.
“Pada asalnya rumah saya kosong tanpa sebarang perabot oleh sebab itu setiap perabot dan item saya beli secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan,” katanya.
Menurutnya, tempoh yang diambil bagi mendekorasi rumahnya ialah antara dua hingga tiga tahun bagi merealisasikan keseluruhan konsep yang diimpikan.
Pencahayaan Hangat Di Ruang Tamu
Dalam kediaman tersebut, ruang tamu menjadi kawasan paling istimewa dan paling banyak menerima perhatian.
Dia akui ruang tamu merupakan lokasi kegemarannya untuk berehat selepas seharian bekerja malah suasana pada waktu malam juga lebih selesa berikutan pemilihan tona cahaya yang hangat mencipta ruangan yang tenang.
“Gabungan lampu meja dan lantai menghasilkan pencahayaan yang hangat menjadikan ruang tamu lebih selesa tanpa memerlukan lampu utama yang terlalu terang,” katanya.
Bagi memastikan konsep yang diinginkan dapat direalisasikan, Firdaus banyak mendapatkan perabot dan aksesori dekorasi menerusi platform dalam talian seperti di aplikasi Taobao.

Dia menghabiskan sekitar RM100 hingga ke RM300 bagi setiap perabot yang dibeli secara dalam talian malah dia tidak menyesal kerana ia lebih menjimatkan kos serta keunikkan reka bentuk perabot sukar untuk ditemui di pasaran tempatan.
Firdaus percaya proses menghias rumah tidak semestinya perlu dilakukan secara tergesa-gesa sebaliknya perlu dilakukan sedikit demi sedikit bagi membolehkan pemilik rumah membuat pilihan yang lebih teliti selain mengikut cita rasa sebenar.
“Bagi saya, setiap sudut rumah mempunyai cerita tersendiri yang terbina sepanjang perjalanan menghias kediaman ini,” katanya.










