PETALING JAYA: Peningkatan yang dipamerkan pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa menunjukkan perkembangan positif apabila jurang kualiti dengan pemain handalan dunia kini semakin mengecil.
Kemajuan itu diakui sendiri pemain berusia 22 tahun itu yang kini berupaya menghadirkan tentangan sengit ke atas bintang No. 3 dunia, Akane Yamaguchi dari Jepun 15-21, 18-21 pada peringkat 16 terbaik Terbuka Indonesia di Jakarta, kelmarin.
“Peluang beraksi menentang Yamaguchi adalah pengalaman berharga buat saya. Saya rasa jurang permainan dengan pemain handalan dunia semakin mengecil.
“Prestasi saya sekarang agak konsisten, walaupun masih banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi merapatkan lagi jurang dan terus mencipta kejutan ke atas pemain-pemain hebat ini,” katanya sewaktu ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Anak jati Selangor itu berkata, beraksi dalam kejohanan utama seperti Terbuka Indonesia yang berstatus Super 1,000 adalah proses pembelajaran yang tidak mungkin diperolehinya dalam pertandingan kelas lebih rendah.
Menurut Letshanaa yang menghuni ranking ke-31 dunia, perbezaan yang wujud antara dirinya dengan pemain yang berada dalam kelompok elit adalah aksi konsisten dan kebijaksanaan menyusun strategi sewaktu dalam permainan.
“Selain konsisten, perancangan permainan mereka juga sentiasa berubah dan bagi saya, pemain-pemain ini juga sangat bijak,” ujarnya yang mengakui masih perlu memperbaiki tahap fizikal dan kekerapan melakukan kesilapan sendiri.
Sementara itu, rakan seperjuangan Letshanaa, Leong Jun Hao yang tewas kepada jaguh Perancis, Alex Lanier yang berada di ranking No. 8 dunia 16-21, 15-21 di pusingan kedua berkata, walaupun dia tewas, ada sesuatu yang positif pada penampilannya kali ini.
“Saya berjaya bermain permainan saya sendiri hari ini. Cuma pada beberapa mata atau keadaan tertentu, saya tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik.
“Sejak Terbuka Singapura, saya dapat rasakan saya semakin hampir mendapatkan kembali rentak permainan saya dan berharap dapat mengekalkan mentaliti sebegini,” kata Jun Hao yang kini menghuni ranking No. 27 dunia.-UTUSAN










