Samun minuman keras: Enam termasuk penguat kuasa ditahan - Utusan Malaysia

Samun minuman keras: Enam termasuk penguat kuasa ditahan

MAZLAN menunjukkan gambar suspek yang diburu dalam kes samun minuman keras dalam sidang akhbar di IPD Gombak, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Enam ditahan termasuk empat anggota penguat kuasa selepas disyaki terlibat sindiket samun minuman keras di sekitar Sepang dan Shah Alam pada Khamis lalu.

Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an itu dipercayai membantu sindiket samun dengan membocorkan maklumat berhubung tempat penyimpanan minuman keras dirampas polis sebelum ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan mendapati tiga lelaki menaiki sebuah lori memasuki tempat simpanan barang kes milik pihak berkuasa di Dengkil, Selangor dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi Khamis lalu.

Katanya, ketika kejadian, suspek mengikat pengawal keselamatan sebelum memunggah minuman keras yang berada dalam sebuah lori di tempat simpanan itu ke dalam lori yang dibawa mereka.

“Proses pemunggahan mengambil masa kira-kira dua jam sebelum suspek membawa keluar barang kes berkenaan pada pukul 5 pagi.

“Siasatan awal membawa kepada penahanan dua suspek itu masing-masing pemandu lori serta kelindan, manakala seorang lagi terlepas, selain rampasan sebuah lori di tepi jalan di Shah Alam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Gombak di sini hari ini. 

Menurut Mazlan, penahanan suspek membawa kepada rampasan dadah jenis pil Captagon seberat dua kilogram, 47 pil Erimin 5 dan kokain (4.9 gram) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM559,899.

Ujar beliau, pemeriksaan dalam lori itu turut menemukan 234 minuman keras disyaki dilarikan dari tempat barang kes.

“Turut dirampas beberapa penimbang elektronik, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM111,100 dalam kenderaan penguat kuasa yang dirampas.

“Kita kemudian menahan empat penguat kuasa selepas mendapat maklumat mengenai pembabitan orang dalam mengikut laporan dibuat pengawal keselamatan terbabit,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua suspek direman hingga esok mengikut Seksyen 392/ 397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita turut memburu seorang lagi suspek yang disyaki dalang kes berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya