MAINS salur RM8.6j bantu pihak terjejas Covid-19 tahun ini - Utusan Malaysia

MAINS salur RM8.6j bantu pihak terjejas Covid-19 tahun ini

ABDUL Aziz Sheikh Ab. Kadir (tengah) bersama wakil-wakil syarikat korporat pada Majlis Penyerahan Bayaran Zakat Perniagaan Syarikat-Syarikat Korporat di Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak RM8.6 juta telah disalurkan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kepada pelbagai pihak yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak bulan Januari tahun ini sehingga Oktober lalu.

Pengerusi MAINS, Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir berkata, jumlah bantuan tersebut ia meliputi Bantuan Khas Tunai Covid-19 dan Bantuan Khas Makanan Covid-19.

“Sejak PKP dilaksanakan oleh pihak kerajaan pada tahun lepas, banyak pihak terkesan daripada segi ekonomi, mental dan kesihatan sama ada golongan yang bekerja sendiri, swasta mahupun kerajaan. 

“Kesan ini turut menjejaskan kehidupan, nilai dan kualiti para pekerja dalam meneruskan kelangsungan hidup yang makin mencabar ketika pandemik Covid-19 melanda negara ini, justeru MAINS menerusi Jabatan Zakat telah bertindak menyalurkan bantuan Covid-19 kepada golongan yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Penyerahan Bayaran Zakat Perniagaan Syarikat-Syarikat Korporat di sini semalam.

Lima buah syarikat korporat telah menyerahkan zakat perniagaan mereka kepada MAINS iaitu Etiqa Family Takaful Bhd. sebanyak RM262,000, Etiqa General Takaful Bhd. sebanyak RM240,000, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) sebanyak RM95,335.79, FAMA Corporation Sdn. Bhd. sebanyak RM83,914.33 dan Rural Capital Bhd. sebanyak RM63,959.00.

Sementara itu, Abdul Aziz menambah, bagi tempoh Januari hingga Oktober yang lalu juga, MAINS telah berjaya mengagihkan dana zakat berjumlah RM81.8 juta kepada golongan asnaf terdiri di negeri ini.

“Agihan lain meliputi bantuan hemodialisis kepada asnaf dan orang ramai, bantuan pendidikan kepada anak asnaf membabitkan peralatan komputer riba dan tablet, kewangan serta perubatan,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN