fbpx

9 beranak muntah darah gara-gara makan cendawan beracun

CENDAWAN yang dipercayai beracun hingga mengakibatkan sembilan beranak di Kampung Nyiur, Paka di Dungun, Terengganu mengalami muntah termasuk muntah darah.

DUNGUN: Sembilan beranak di Kampung Nyiur, Paka di sini mengalami muntah termasuk muntah darah gara-gara menikmati hidangan sayur cendawan goreng yang dipercayai beracun, minggu lalu.

Kejadian pada 8 November itu mengakibatkan keluarga Nurul Musfirah Ghazali, 32, termasuk suaminya, Muhammad Nurhadi, 36, dan tujuh anaknya yang berusia antara empat hingga 13 tahun dirawat di Hospital Dungun selama tiga hari.

Nurul Musfirah berkata, kurang sejam selepas menikmati juadah makan tengah hari itu, perut mereka sekeluarga bertukar panas hingga satu persatu anaknya rebah.

Katanya, cendawan berkenaan dipetik berdekatan rumahnya tanpa mengetahui ia beracun bagi dimasak bersama kacang panjang.

“Saya hanya memetik empat batang cendawan dan sayur goreng itu kemudian dimakan semua ahli keluarga kecuali anak bongsu yang berusia setahun lebih.

“Kurang sejam selepas makan tengah hari, saya buntu dan takut apabila kami anak beranak tiba-tiba muntah dengan suami serta anak keempat muntah darah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nurul Musfirah berkata, suaminya menguatkan diri membawa mereka sekeluarga ke Klinik Kesihatan Paka yang terletak kira-kira lima kilometer dari kediaman sebelum dibawa ke Hospital Dungun dengan ambulans. 

“Alhamdulillah, kami cepat menerima rawatan dan selepas tiga hari dimasukkan ke hospital, kami dibenarkan pulang. Pegawai kesihatan turut mengambil sampel cendawan itu dan tidak menolak kemungkinan kami keracunan makanan akibat memakannya,” katanya.

Terdahulu, kisah malang keluarga berkenaan tular di laman Facebook selepas dikongsi kakak Nurul Musfirah,  Nurul Annisa Ghazali, 41, yang meminta orang ramai berhati-hati ketika memakan cendawan. – UTUSAN ONLINE 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!