28,033 unit Rumah Keluarga Malaysia untuk ATM - Utusan Malaysia

28,033 unit Rumah Keluarga Malaysia untuk ATM

ISMAIL Sabri Yaakob dan Hishammuddin Tun Hussein melihat Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera di Taman LTAT Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - UTUSAN/SHIDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan merangka Blueprint Perumahan 2.0 bermatlamat membina 28,033 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) yang selesa dan kondusif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembinaan rumah berkenaan sebagai tumpuan khusus kepada agenda perumahan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bermula tahun ini hingga 2030 di samping menyelenggara RKMAT sedia ada di seluruh negara.

Katanya, 2,000 unit RKMAT secara rasmi sedia diduduki yang memenuhi 85 peratus keperluan bagi anggota ATM di seluruh Lembah Klang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti perabot, perkakas elektrik, dewan serbaguna, gimnasium, surau dan beberapa unit kedai.

“Apa yang kita saksikan hari ini sangat bermakna kerana perbincangan dan persetujuan untuk menjadikan rumah mampu milik yang dibangunkan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LKAT) di Bukit Jalil ini ini telah dilaksanakan semasa saya Menteri Kanan Pertahanan.

“Keperluan RKMAT ini amat dekat dengan saya. Pada tahun lalu, sewaktu saya berkhidmat sebagai Menteri Kanan Pertahanan, hal ini menjadi keutamaan saya di mana saya menyedari dan memahami keperluan perumahan bagi anggota ATM.

“Ketika itu saya bersetuju kerana tahu masih ramai anggota ATM khususnya warga Tentera Darat terpaksa menyewa di sekitar Lembah Klang atas faktor kekurangan kuarters atau RKMAT di wilayah ini lebih-lebih lagi kos sara hidup agak tinggi dan melebihi kadar Imbuhan Tetap Perumahan diterima,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan RKMAT di Taman LTAT, Bukit Jalil yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein: Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Mengulas lanjut, kata Ismail Sabri, kerajaan juga akan membina 10,200 unit RKMAT dan kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara menyorot Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang telah dibentang dan diluluskan baru-baru ini.

Untuk rekod, katanya, 8,852 unit daripada jumlah tersebut khusus untuk anggota ATM; 1,509 unit dalam proses pembinaan manakala 7,343 dalam proses perolehan.

Dalam pada itu, beliau berkata, tahap kemudahan yang sama akan diberikan di RKMAT lain selain menyambut baik komitmen disuarakan Menteri Pertahanan bersama LTAT akan terus bekerjasama demi memastikan perancangan ke hadapan berkaitan perumahan ATM di bawah RMK12 dilaksanakan seperti yang dirancang.

“Kepada para anggota ATM khususnya yang bakal mendiami RKMAT, tahniah saya ucapkan. Manfaatkanlah kemudahan ini dengan sebaik mungkin dan jaga kediaman ini seperti kediaman sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya