Proton buka kilang secara rasmi di Pakistan - Utusan Malaysia

Proton buka kilang secara rasmi di Pakistan

ANTARA kenamaan yang hadir pada perasmian kilang pemasangan kereta Proton di Karachi, Pakistan, baru-baru ini. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Proton Holdings Bhd. (Proton) secara rasmi membuka kilang pemasangan tempatan (CKD) di Karachi, Pakistan, kelmarin.

Kilang moden terletak di Karachi itu diusahakan menerusi rakan kerjasama domestik, Al-Haj Automotive Pvt. Ltd. dengan nilai pelaburan awal sebanyak AS$30 juta (kira-kira RM125 juta).

Ia dirasmikan Presiden Pakistan, Dr. Arif-ur-Rehman Alvi dan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Haj, Hilal Khan Afridi dan Konsul Jeneral Malaysia di Karachi, Khairul Nazran.

Uniknya, bekas pengarah produksi dan kualiti Proton Malaysia, Aris Anuar dlantik syarikat berkenaan sebagai Ketua Pengarah Pembuatan di kilang terletak di zon dikenali Greenfield.

Proton menerusi kenyataan ringkas dalam laman sesawang rasminya pula berkata, kilang itu mampu mengeluarkan 25,000 unit kereta setahun dan menyediakan 2,000 peluang kerja.

Malah, dalam jangka masa panjang apabila ia beroperasi dengan sepenuhnya, sebanyak 20,000 lagi pekerjaan secara tidak langsung dapat diwujudkan di negara Asia Selatan itu.

Media Pakistan melaporkan, model CKD pertama dikeluarkan dari barisan produksi tersebut ialah model Saga dan diikuti kenderaan utiliti sukan popular segmen C iaitu X-70.

Perjanjian bagi pembinaan kilang automotif itu dimeterai antara Al-Haj dan Proton pada 2019 dan sepatutnya memulakan pengeluaran tahun lalu namun tergendala ekoran isu Covid-19.

Sebelum ini, terdapat sejumlah 30 buah kilang pemasangan CKD di seluruh Pakistan sejak dibuka oleh kerajaannya pada 1994 lalu dengan pengeluaran hampir 300,000 unit setahun.

Proton mula mengeksport produk ke luar negara sejak 1986 dan pernah dijual lebih 70 negara, namun kini cuma enam negara iaitu Thailand, Syria, Mesir, Chile, Indonesia dan Pakistan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya