KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia masih mempunyai pilihan lain bagi mengelakkan caj perkhidmatan sebanyak 50 sen bagi pembayaran bil Astro.
Ini kerana Pos Malaysia baru sahaja mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 50 sen bagi pembayaran bil Astro di kaunter pejabat pos mulai 1 September lalu.
Menjelaskan perkara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, caj tersebut secara dasar telah dilaksanakan oleh ejen-ejen pembayaran Astro yang lain sejak Januari.
“Ia melalui perkhidmatan auto debit di mana pelanggan perlu mendaftar melalui portal layan diri atau di Pusat Khidmat Pelanggan Astro, platform Astro Quick Pay, portal Astro Self-Service, Saluran Astro 200 dan aplikasi My Astro.
“Selain itu, pengguna boleh membayar melalui platform JomPAY, pembayaran menggunakan kad debit dan kad kredit melalui kaunter di Pusat Khidmat Pelanggan Astro.
“Pembayaran juga boleh dibuat melalui bank-bank tempatan menerusi platform mesin pengeluaran wang automatik (ATM), perbankan dalam talian, perbankan khidmat pesanan ringkas (SMS), kaunter bank, ejen bank berdaftar, mesin deposit wang dan mesin deposit cek,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) meminta kerajaan menjelaskan mengapa kadar caj 50 sen dikenakan sebagai komisyen oleh Pejabat Pos kepada pelanggan yang membayar bil tersebut secara manual di Pejabat Pos.
Sambil Kasthuri meminta kerajaan merujuk kembali perkara itu, Annuar berkata, ia merupakan cadangan baik meskipun pihak kementerian tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan perkara berkenaan.
“Tapi itu satu cadangan yang baik, barangkali saya boleh merujuknya kepada Pos Malaysia,” jelas beliau. – UTUSAN










