Mohammadin Ketapi umum keluar Warisan, jadi wakil rakyat Bebas mesra kerajaan negeri dan Persekutuan - Utusan Malaysia

Mohammadin Ketapi umum keluar Warisan, jadi wakil rakyat Bebas mesra kerajaan negeri dan Persekutuan

MOHAMMADIN Ketapi (tiga kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Warisan Bahagian Lahad Datu semasa sidang media di Kota Kinabalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak keluar meninggalkan parti, hari ini seorang lagi wakil rakyat Parti Warisan Sabah (Warisan) mengumumkan perkara sama.

Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammadin Ketapi hari ini mengumumkan keluar Warisan bagi menjadi wakil rakyat Bebas dan mesra kerajaan.

Katanya, keputusan itu diambil untuk membawa kemajuan dan pembangunan di kawasan Parlimen Lahad Datu dan DUN Segama.

ADUN Segama itu berkata, selepas lebih setahun berada di pihak pembangkang tiada sebarang kemajuan yang dapat dibawa ke kawasan parlimen itu.

“Justeru, saya memutuskan untuk keluar dan menjadi wakil rakyat bebas yang mesra kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, saya berjanji kepada pengundi kawasan DUN Segama untuk membawa kemajuan dan pembangunan di kawasan itu termasuk untuk membawa usul agar dibina sebuah Pejabat Daerah Kecil Segama.

“Saya berpendapat jika saya terus kekal dalam kelompok pembangkang sudah tentu kemajuan dan pembangunan di DUN Segama akan terabai,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

ADUN Segama itu adalah wakil rakyat Warisan yang ketiga meninggalkan parti selepas ADUN Sebatik, Hassan A. Gani Pg Amir keluar pada 25 Februari dan diikuti oleh ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob yang keluar pada 8 Oktober lalu.

Mohammadin pernah memegang jawatan sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Beliau memenangi kerusi DUN Segama semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan majoriti 2,168 undi dalam pertembungan lapan penjuru dan beliau memperoleh sebanyak 4,864 undi.

Kerusi DUN Segama antara 13 kerusi baharu selepas persempadanan semula DUN Sabah dilakukan.

Ketika ini, Warisan mempunyai 19 kerusi DUN selepas tiga wakil rakyatnya meninggalkan parti bagi menjadi ADUN Bebas sebelum menyertai parti lain. Warisan mempunyai tujuh kerusi Parlimen selepas Mohammadin keluar parti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN