Mereka yang datang kacau, persidangan depan rumah saya - Idris - Utusan Malaysia

Mereka yang datang kacau, persidangan depan rumah saya – Idris

IDRIS HARON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron menjelaskan, kekecohan yang didakwa berlaku ketika Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Klebang Kechil, bukan dicetuskan dirinya.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu berkata, mesyuarat berkenaan berlangsung di hadapan rumahnya dan bertukar kecoh selepas kehadiran beberapa pemimpin UMNO Bahagian Tangga Batu.

Katanya, sebagai individu yang telah dipecat keahlian daripada parti, beliau memahami keadaan itu dan tidak langsung mencampuri perjalanan persidangan, namun tetap memberikan kebenaran untuk diadakan di anjung rumahnya atas dasar menghormati masyarakat sekitar.

“Persidangan berlaku di hadapan rumah saya, kawasan kediaman saya. Saya tak campur UMNO cawangan nak bermesyuarat. Mereka di luar dan saya dalam rumah menghabiskan waktu senggang hari Ahad.

“Namun, tiba-tiba kecoh apabila beberapa pemimpin bahagian hadir. Jadi,i saya keluar rumah untuk lihat apa yang jadi.

“Saya ambil mikrofon minta individu itu beredar, bukannya saya nak berucap seperti didakwa. Saya boleh panggil polis, tapi saya tak mahu keadaan jadi lebih kecoh,” katanya.

Terdahulu, Idris didakwa menimbulkan kekecohan apabila cuba mencampuri perjalanan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Klebang Kechil.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad melahirkan rasa kesal dengan tindakan tersebut, kerana mengganggu perjalanan persidangan.

Dalam pada itu, Idris yang juga bekas ketua cawangan di situ memaklumkan, UMNO Cawangan Klebang Kechil telah meluluskan usul supaya Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Mohamad Ali digugurkan daripada jawatan yang disandang.

“Perwakilan sebulat suara meluluskan usul tersebut atas alasan tindakan pemimpin ini telah banyak menyusahkan parti. Saya dimaklumkan tadi, kerana persidangan berlangsung di hadapan rumah saya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya