MELAKA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sekali lagi, tidak akan ada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Menurutnya, keputusan itu adalah muktamad seperti mana telah dibuat oleh semua perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.
“Tak lambat dah, dulu kita dah buat keputusan tiada kerjasama dengan Bersatu. Itulah keputusan kita dan kita muktamadkan.
“Bukan setakat Bersatu sahaja kita tidak bekerjasama, ini termasuk dengan Perikatan Nasional (PN). Saya tidak nampak kita akan ke arah itu berganding pada PRN nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya di Bukit Katil di sini hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersoalkan kelewatan UMNO untuk memberi jawapan dalam membentuk kerjasama menghadapi PRN nanti.
Presiden Bersatu itu berkata, PN tidak boleh menunggu lama menanti jawapan daripada Barisan Nasional (BN) memandangkan ia akan menjejaskan persiapan menghadapi PRN.
Ditanya mengenai persiapan jentera UMNO menghadapi PRN, Ahmad Zahid menegaskan, mereka telah diingatkan tidak mengambil mudah kesiapsiagaan, sebaliknya harus dipertingkatkan dari sekarang.
Jelasnya, walaupun PRN hanya di peringkat Melaka, tetapi seluruh jentera parti dari seluruh negara akan turun membantu calon-calon BN untuk menang.











