Usaha Rosmah singkir Sri Ram gagal - Utusan Malaysia

Usaha Rosmah singkir Sri Ram gagal

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Usaha isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi menyingkirkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rasuah dihadapinya gagal.

Perkara itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini yang menolak permohonan pasukan pembelaan Rosmah untuk menggugurkan Sri Ram.

GOPAL SRI RAM

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan.

Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini dalam penghakiman berkata pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas adalah sah.

“Saya percaya kebenaran yang diberikan oleh Tommy Thomas kepada Sri Ram untuk menjalankan kes ini sudah pasti dilakukan secara sah. Oleh itu, permohonan ditolak,” katanya.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah kemudian memohon menangguhkan terhadap keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, perkara itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan penangguhan.

Pihak pembelaan sebelum ini mendakwa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya bagi mengendalikan kes rasuah dihadapinya berkenaan projek hibrid solar sekolah luar bandar di Sarawak adalah tidak sah dan terbatal.

Rosmah, 69, sebelum ini memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April lepas membenarkan rayuannya bagi mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram setelah pendakwaan bersetuju menyerahkan salinan itu kepada pembelaan.

Beliau mengemukakan rayuan itu selepas Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos tahun lepas menolak permohonannya bagi mendapatkan surat pelantikan Sri Ram.

Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 Nov 2018 iaitu hari Rosmah didakwa di mahkamah serta tidak ditandatangani oleh Tommy Thomas iaitu Peguam Negara ketika itu.

Sebaliknya, surat itu bertarikh 8 Julai tahun lepas dan ditandatangani oleh Tan Sri Idrus Harun iaitu Peguam Negara ketika ini.

Pada 18 Februari lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan sembilan hari iaitu 9,10,15,16,17,22, 23 Jun serta 12 dan 15 Julai bagi mendengar keterangan beliau dan saksi pembelaan yang lain.

Rosmah sebelum ini dibicarakan di atas tuduhan rasuah bernilai RM1.25 billion berkaitan projek berkenaan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya