fbpx

Norazlan dilantik TKP SPRM baharu

NORAZLAN Mohd. Razali (kanan) dan Shamshun Baharin Mohd. Jamil dalam Majlis Paluan Berundur berlangsung di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. - IHSAN SPRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Norazlan Mohd. Razali dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd. Jamil yang bersara wajib.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, Norazlan yang merupakan Pengarah Kanan Siasatan SPRM pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Pengarah SPRM Selangor dan Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

Selain itu, beliau pernah memegang jawatan Ketua Staf Pejabat Eksekutif Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Unit Integriti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pengarah SPRM Johor.

SPRM berkata, Norazlan, 57, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Science in Business Control System, pengkhususan dalam bidang Perakaunan daripada University of North Texas, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Science in Economic Crime Management (Kepujian) daripada HELP University, Malaysia.

“Beliau mula menyertai SPRM pada 9 Februari 1989 dan sepanjang tempoh perkhidmatan berpengalaman luas serta banyak terlibat dalam pelbagai inisiatif pencegahan rasuah di dalam dan luar negara,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Hishamuddin Hashim pula dilantik sebagai Pengarah Kanan Siasatan SPRM yang baharu berkuat kuasa pada tarikh sama manakala Ketua Unit Integriti, Kementerian Pengangkutan, Datuk Tan Kang Sai menggantikan jawatan Hishamuddin.

Dalam pada itu, SPRM menganjurkan Majlis Paluan Berundur sempena persaraan Shamshun Baharin di Ibu Pejabat SPRM semalam dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara.

Shamshun Baharin bersara wajib sebagai penjawat awam pada usia 60 tahun selepas berkhidmat di Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan SPRM selama 37 tahun sejak tahun 1984.

Beliau memulakan karier di BPR/SPRM sebagai pegawai penyiasat dan memegang pelbagai jawatan penting sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Antaranya, Ketua Cawangan Pendaftaran Rahsia, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Pengarah Bahagian Keutuhan Pengurusan, Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat, Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM pada 4 Oktober 2016.

“Sehubungan itu, SPRM merakamkan ucapan terima kasih atas usaha dan sumbangan bakti Shamshun Baharin sepanjang dalam perkhidmatan di BPR/SPRM bagi membanteras rasuah di negara ini.

“Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga SPRM turut mengucapkan tahniah atas pelantikan pucuk pimpinan baharu ini sekali gus menjadikan SPRM terus cemerlang,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI