fbpx

(VIDEO) Video tular pujuk dua beranak Orang Asli sentuh emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Video tular membabitkan kakitangan Kementerian Kesihatan yang mencari dan memujuk dua beranak masyarakat orang Asli yang disahkan positif Covid-19 di Kampung Orang Asli Langkap, di sini, menyentuh emosi warganet.

Video berkenaan dimuat naik di akaun TikTok @thedressar1 Jumaat lalu dan ditonton sebanyak lebih 300,000 kali.

Pemilik akaun berkenaan, Azrul Zubir, 31, yang merupakan penolong pegawai perubatan berkata, dia memuat naik video itu sehari selepas tugasan tersebut dijalankannya.

Ujarnya, video tersebut bagi memberi pemahaman kepada masyarakat mengenai peranan Kementerian Kesihatan dalam mendekati masyarakat Orang Asli susulan penularan pendemik Covid-19.

“Pada hari Khamis lalu kira-kira pukul 2 petang, saya bersama dua lagi kakitangan lain ke lokasi perkampungan orang Asli berkenaan. Sebaik sahaja sampai di kampung tersebut, saya perlu mendaki bukit setinggi 500 meter bagi mencari dua beranak berkenaan yang mana ibunya berusia 18 tahun dan anaknya baru berusia sembilan bulan.

“Lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) tentulah sukar untuk kami mendaki serta mencari dua beranak tersebut. Akhirnya saya dibantu oleh tok batin untuk mencari dua beranak berkenaan yang rumah mereka jauh ke dalam dusun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

 

VIDEO tular kakitangan Kementerian Kesihatan mencari dan memujuk dua beranak masyarakat Orang Asli yang disahkan positif Covid-19 di Kampung Orang Asli Langkap, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. – MEDIA SOSIAL

Azrul berkata, mereka perlu mencari wanita itu kerana dia tidak mempunyai telefon bimbit untuk dihubungi bagi memaklumkan mereka berdua positif Covid-19.

Menurutnya, setelah ditemukan, dia berhadapan pula cabaran bagi memujuk ibu berkenaan ke hospital kerana pada awalnya wanita itu tidak bersetuju.

“Saya tidak perasan video ini tular, saya sangka biasa sahaja. Bermula hari Sabtu, tontonan semakin tinggi dan video berkenaan mula dikongsikan di beberapa page Facebook pula,” katanya.

Sementara itu, dia berharap dengan perkongsian video berkenaan, masyarakat tidak lagi menganggap pendemik Covid-19 sebagai benda remeh.

“Sejauh-jauh perkampungan pun boleh diisytiharkan kluster selepas jangkitan. Kita boleh nilailah betapa bahaya dan kuatnya virus ini, ia tidak kenal siapa,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE