Polis buka kertas siasatan berkait kemelut Negeri Sembilan

Polis buka kertas siasatan berkait kemelut Negeri Sembilan

ALZAFNY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis menjalankan beberapa siasatan berhubung laporan polis berkaitan kandungan media sosial melibatkan kemelut yang berlaku di negeri ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, setakat ini sebanyak 49 keterangan telah dirakam dan siasatan sedang dijalankan.

Katanya, kandungan berkenaan dilihat berpotensi menimbulkan provokasi, keresahan serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 melibatkan perbuatan berunsur hasutan termasuk mengeluarkan, menerbitkan atau menyebarkan kandungan menghasut.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama dan sehingga lima tahun bagi kesalahan berikutnya.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan pula, ia melibatkan kenyataan yang boleh mendatangkan kegentaran awam atau menghasut mana-mana golongan sehingga menjejaskan ketenteraman awam.

“Manakala, kesalahan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan melibatkan perbuatan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah,” katanya.

Alzafny berkata, jika disabitkan kesalahan di bawah kedua-dua seksyen terbabit, pesalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, beliau berkata, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian bagi penyebaran kandungan jelik, palsu, mengancam atau menyakitkan hati.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan provokasi, menggugat ketenteraman awam serta menyentuh isu 3R khususnya melalui media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN