PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan perlu menerima surat penarikan sokongan daripada ADUN Barisan Nasional (BN) sekali gus mengisytiharkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun telah hilang majoriti.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sokongan lima ADUN Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada UMNO juga adalah atas prinsip parti itu kini mempunyai majoriti dan mahu mengelakkan kerajaan negeri tergantung.
Katanya, tujuan utama Pas khususnya di Negeri Sembilan adalah mahu melihat dan memastikan kerajaan negeri terus stabil demi rakyatnya.
“Bila UMNO menarik sokongan, kerajaan sedia ada pada asasnya telah hilang majoriti dan kerajaan baharu perlu dibentuk.
“Pas menyokong calon (Menteri Besar) daripada UMNO atas prinsip mreka mempunyai majoriti dan mahu mengelakkan kerajaan negeri daripada tergantung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya melihat kepada kemelut di Negeri Sembilan berlaku apabila Menteri Besarnya daripada Pakatan Harapan (PH) melakukan kesalahan besar kerana mencampuri urusan hal-hal adat negeri tersebut.
“Pas melihat keutamaan kini adalah kepemimpinan Menteri Besar telah melakukan kesalahan besar sehingga ia dianggap perlu ditukarkan oleh Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin Negeri Sembilan,” katanya.
Kemelut di Negeri Sembilan yang berlaku kini susulan kenyataan semua Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin yang menzahirkan pendirian tegas bahawa Aminuddin sudah ‘tidak layak’ untuk menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan dan ‘selayaknya diturunkan’
Kini Aminuddin memimpin Negeri Sembilan tanpa ada majoriti apabila hanya 17 ADUN Pakatan Harapan (PH) masih menyokongnya manakala Barisan Nasional (BN) dengan 14 ADUN sudah pun menyatakan tidak lagi menyokong kerajaan negeri.
Selepas penarikan sokongan ADUN BN itu, lima ADUN PN menyatakan kesediaan memberikan sokongan kepada UMNO sekali gus membolehkan parti itu menubuhkan kerajaan negeri. – UTUSAN










