KUALA LUMPUR : Semua pihak diminta bertenang dan tidak membuat kenyataan yang tidak perlu berhubung krisis yang sedang berlaku di Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, isu yang sedang melanda negeri itu berkait dengan adat yang telah lama diamalkan.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.
“Kita (polis) ada terima beberapa laporan melibatkan ketidakpuasan hati pelbagai pihak. Siasatan sedang dijalankan bagi menentukan tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd. Khalid berkata, setakat ini belum ada individu lain dipanggil berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Katanya, beberapa pihak dikenal pasti dan mungkin akan dipanggil bagi membantu siasatan.
“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN










